Datuk, penjawat awam disyaki rasuah projek RM250 juta direman

Datuk, penjawat awam disyaki rasuah projek RM250 juta direman

Suspek dipercayai berpakat bagi membolehkan beberapa syarikat mendapat projek dikeluarkan pejabat kerja raya di Sarawak.

handcuff
Suspek direman hingga 9 Dis bagi membantu siasatan kes rasuah antara 2022 hingga 2024. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Pengarah syarikat bergelar Datuk dan penjawat awam direman hingga 9 Dis kerana disyaki terlibat rasuah sebagai balasan mendapatkan projek pembinaan di Sarawak bernilai kira-kira RM250 juta.

Sumber berkata, perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuching ke atas kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai berpakat dan berkomplot bagi membolehkan beberapa syarikat mendapat projek pembinaan dikeluarkan pejabat kerja raya sebuah daerah di negeri itu.

“Mereka dipercayai telah melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024 sebagai balasan mendapatkan projek-projek pembinaan yang bernilai kira-kira RM250 juta.

“Susulan itu, kedua-dua suspek telah ditahan sekitar 5.30 pagi pada Khamis ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, selain turut disahkan positif mengambil dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009 serta tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan dibuat bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.