Elak keluar kenyataan subjudis berkait rayuan titah adendum tahanan rumah Najib, kata AGC

Elak keluar kenyataan subjudis berkait rayuan titah adendum tahanan rumah Najib, kata AGC

Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata Mahkamah Rayuan telah menetapkan 6 Jan depan untuk mendengar permohonan Najib Razak.

najib razak
Mahkamah Rayuan dijadual mendengar rayuan Najib Razak yang memohon kebenaran untuk prosiding semakan kehakiman berhubung titah diraja tahanan rumah.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) menggesa semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan bersifat subjudis berhubung rayuan Najib Razak untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum.

Dokumen itu bagi menyokong permohonan untuk membenarkannya menjalani baki tempoh penjaranya di bawah tahanan rumah.

Dalam kenyataan media, AGC berkata Mahkamah Rayuan telah menetapkan 6 Jan depan untuk mendengar permohonan bekas perdana menteri itu.

“Sehubungan itu, semua pihak dipohon menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat subjudis memandangkan rayuan dan notis usul tersebut masih belum diputuskan,” katanya di sini.

Pada 5 Dis lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu di Mahkamah Rayuan bagi membuktikan wujudnya perintah tambahan yang membenarkannya menjalani baki tempoh penjaranya di bawah tahanan rumah.

Namun tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan 6 Jan.

Bekas presiden Umno itu bergantung kepada bukti baharu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman agar kerajaan melaksanakan titah diraja yang dikeluarkan oleh bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Awal hari ini, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan memfailkan usul tergempar agar Dewan Rakyat membincangkan perintah yang dikatakan itu.

Memetik bukti baharu daripada Nizar, Takiyuddin berkata kegagalan melaksanakan titah diraja adalah khianat dan boleh menyebabkan krisis perlembagaan.

Dokumen mahkamah dilihat FMT mendedahkan bahawa permohonan itu turut disertakan dengan afidavit yang disahkan pada 2 Dis oleh anak Najib, Nizar, Adun Peramu Jaya dan seorang Exco kerajaan negeri Pahang.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan Najib gagal membuktikan beliau mempunyai kes yang boleh dipertikaikan untuk mewajarkan pendengaran penuh permohonan semakan kehakiman yang dicadangkannya.

Hakim Amarjeet Singh berkata kenyataan yang terkandung dalam afidavit yang difailkan oleh Najib, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan naib presiden parti Wan Rosdy Wan Ismail adalah khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti.

Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB) mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dihadapinya telah dikurangkan separuh daripada 12 tahun kepada enam dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Beliau kini sedang menjalani hukuman di penjara Kajang.

Dalam permohonan kebenarannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 1 April, Najib mendakwa bekas Agong itu turut mengeluarkan dekri tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara yang dikurangkan di bawah tahanan rumah, pada mesyuarat FTPB, 29 Jan lalu.

Bekas perdana menteri itu berkata FTPB tidak mengumumkan syarat dekri tambahan itu dan kerajaan melakukan penghinaan kerana tidak mematuhinya.

Najib mahu mahkamah memaksa kerajaan melaksanakan dekri tambahan itu, jika ada, dengan meletakkannya di bawah tahanan rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.