Pindaan Seksyen 46(a) RUU 588 tak terpakai kepada organisasi media

Pindaan Seksyen 46(a) RUU 588 tak terpakai kepada organisasi media

Menteri Fahmi Fadzil berkata pindaan itu hanya bagi tujuan menyediakan perkhidmatan yang telah ditakrifkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil berkata pindaan Seksyen 46(a) RUU 588 tidak berkaitan dengan organisasi media.
PETALING JAYA:
Pindaan Seksyen 46(a) dalam Rang Undang-undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 atau RUU 588 tidak terpakai kepada organisasi media, jelas Menteri Fahmi Fadzil.

Menteri komunikasi juga menegaskan ia tidak berkaitan dengan organisasi media, dan bukan terpakai untuk orang awam mahupun ‘askar siber’.

Sebaliknya, ia melibatkan industri komunikasi dan berbeza dengan akta bagi media cetak.

“Kita (kerajaan) tak ada niat melalui akta ini terutamanya untuk melesenkan platform-platform media, sebagai contoh, tapi Seksyen 46(a) adalah terpakai kepada penyedia perkhidmatan,” katanya kepada Dewan Rakyat, ketika sesi penggulungan RUU 588.

Fahmi menyorot perhatian wakil rakyat kepada empat bentuk lesen yang disebutkan dalam Akta 588, iaitu ‘Network Facilities Provider’ (NFP), ‘Network Service Provider’ (NSP), ‘Applications Service Provider’ (ASP), dan ‘Content Applications Service Provider’ (CASP).

Katanya, pindaan ini “hanya bagi tujuan menyediakan perkhidmatan yang telah ditakrifkan di bawah Akta Komunikasi dan Multmedia, jadi tidak terpakai kepada orang awam.”

Terdahulu, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) bimbang pindaan Seksyen 46(a) dalam RUU 588 akan beri kesan kepada kebebasan media, kerana dakwanya ia beri kuasa mutlak kepada menteri untuk membuat pengisytiharan
tanpa sebarang proses semak dan imbang.

Beliau berkata tiada keperluan untuk meminda Seksyen 46(a) kerana Malaysia punyai undang-undang untuk menangani maklumat palsu dan pendaftaran entiti.

RUU 588 diluluskan di Dewan Rakyat selepas undi belah bahagi menyaksikan 59 wakil rakyat menyokong berbanding 40 tidak bersetuju.

Terdahulu, ketika menjawab kebimbangan pembangkang, Fahmi menjelaskan bahawa keputusan dasar untuk meminda Akta 588 dibuat sebelum pentadbiran Anwar Ibrahim.

“Keputusan dasar untuk meminda akta ini bukan pada waktu kerajaan ini tapi sebelumnya, sewaktu kerajaan pada tahun 2022,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.