Percepat kecelikan digital, jadikan Malaysia berpendapatan tinggi, kata PM

Percepat kecelikan digital, jadikan Malaysia berpendapatan tinggi, kata PM

Anwar Ibrahim berkata ini kerana status negara berpendapatan tinggi hanya boleh dicapai sekiranya didorong oleh penggunaan digital di semua peringkat.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ekonomi digital berpotensi menyumbang 23% terhadap KDNK Malaysia menjelang tahun depan dan RM120 bilion menjelang 2030.
KUALA LUMPUR:
Kecelikan digital merentasi sekolah, pejabat kerajaan dan syarikat swasta perlu dipercepatkan dalam usaha mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata ini kerana status negara berpendapatan tinggi hanya boleh dicapai sekiranya didorong oleh penggunaan digital di semua peringkat.

“Dulu kita katakan kecelikan dari segi pendidikan asas. Kemudian sekarang ini kecelikan digital itu sudah menjadi satu kemestian.

“Sebab itu saya tekankan mengapa kita antara beberapa negara awal di dunia yang mewujudkan satu kementerian sebagai Kementerian Digital,” katanya ketika berucap merasmikan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Beliau berkata kemajuan dan kejayaan agenda digital negara dalam bidang kecerdasan buatan (AI) juga dipacu kerjasama syarikat gergasi antaranya NVIDIA, syarikat Amerika Syarikat (AS) dan YTL Corporation Bhd, konglomerat Malaysia yang juga peneraju dalam bidang teknologi.

“Bila kita bawa pimpinan, NVIDIA dan YTL umpamanya, bila bicarakan satu projek raksaksa yang baru yang akan menentukan tahap Malaysia itu terangkat keupayaannya.

“Tapi syarikat besar itu tidak akan membawa kebaikan kepada negara, kalau dia tidak selaraskan dengan penjawat awam, selaraskan dengan PKS supaya memberikan dan menerapkan penyelesaian inovasi yang menuntut mereka membawa perubahan,” katanya.

Beliau menyifatkan penubuhan NAIO sebagai satu lakaran sejarah dan merupakan kesungguhan serta ikhtiar negara dalam melaksanakan transformasi digital, sekali gus memacu Malaysia sebagai sebuah negara berinovasi.

Menurutnya, ekonomi digital berpotensi menyumbang 23% terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang tahun depan dan RM120 bilion menjelang 2030.

Pada majlis itu, beliau juga menyaksikan pembentangan syarikat antarabangsa termasuk Toshiba, Google, Microsoft serta YTL mengenai pembabitan mereka dalam memacu agenda AI negara.

YTL AI Labs, peneraju teknologi AI turut memperkenalkan perisian Ilmu 0.1 pada sesi pembentangan itu.

Dengan tagline ‘Dari rakyat Malaysia untuk Malaysia’ Ilmu 0.1 – dijana teknologi AI adalah model bahasa berskala besar (LLM) yang menyokong pelbagai bahasa utama dunia dalam Bahasa Melayu menerusi konteks dan budaya tempatan.

Ketika membentangkan teknologi baharu itu, Pengarah Eksekutif YTL AI Labs Lou Yeoh berkata pengenalan Ilmu 0.1 itu penting dalam usaha memajukan aplikasi dalam pelbagai bidang termasuk kewangan, kesihatan dan perkhidmatan awam.

Menurutnya, Ilmu 0.1 juga turut membantu ramai calon SPM mendapat skor A dalam Bahasa Melayu.

“Pelancaran Ilmu 0.1 adalah peristiwa penting bagi Malaysia, perisian ini adalah benar-benar kebijaksanaan rakyat Malaysia,” katanya.

YTL telah melabur lebih RM20 bilion dalam menyokong pembangunan AI di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.