‘Saya cuba buat perkara betul di waktu yang tepat’, kata Dr Sam

‘Saya cuba buat perkara betul di waktu yang tepat’, kata Dr Sam

Semalam, Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai bendahari PN.

Ahmad Samsuri Mokhtar Abdul Hadi Awang
Ahmad Samsuri Mokhtar, bekas setiausaha politik Hadi Awang disebut-sebut sebagai calon perdana menteri PN sejak kemenangannya pada PRK Kemaman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar cuba memberi bayangan di sebalik tindakannya meletak jawatan sebagai bendahari agung Perikatan Nasional (PN) semalam.

Menerusi mesej WhatsApp kepada FMT, menteri besar Terengganu itu hanya menjawab ringkas dengan menghantar kata-kata hikmah pemain legenda bola keranjang berasal Amerika Syarikat (AS) Kareem Abdul-Jabbar.

“Saya cuba melakukan perkara yang betul di waktu yang tepat. Ia mungkin perkara kecil, tetapi biasanya ia boleh menjadi perbezaan antara menang dan kalah,” katanya.

Tindakan Samsuri meletak jawatan itu menyusul selepas mesyuarat tertinggi PN, Isnin lalu mengesahkan jawatankuasanya yang baharu termasuk melantik Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali ke jawatan sama bagi komponen terbabit.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Mohd Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Takiyuddin Hassan dilantik setiausaha agung PN sesuai pengalaman dan senioriti dalam komponen dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu adalah setiausaha agung PAS serta ketua whip PN.

Samsuri atau dikenali Dr Sam pernah disebut-sebut sebagai calon berpotensi sebagai perdana menteri apabila PN membentuk kerajaan, yang turut diakui pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Perkara itu dinyatakan Muhyiddin ketika berkempen untuk Samsuri pada kempen PRK Kemaman tahun lepas.

Bulan lalu, beberapa pemimpin PN antaranya Naib Presiden Bersatu Faizal Azumu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dan Presiden Gerakan Dominic Lau saling berbalas kenyataan berhubung isu pengerusi PN dan calon perdana menteri untuk PRU16.

Faizal dan Lau mempertahankan Muhyiddin manakala Hashim menegaskan PAS lebih layak memimpin kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen serta mempunyai jentera akar umbi kuat, selain mendesak perbincangan mengenainya diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.