Suri rumah rugi lebih RM750,000 ditipu pelaburan bitcoin

Suri rumah rugi lebih RM750,000 ditipu pelaburan bitcoin

Polis berkata mangsa yang tertarik dengan tawaran lumayan pelaburan itu di Facebook memasukan sejumlah wang ke tujuh akaun bank.

Pemangku Ketua Polis Seri Alam, Mohd Roslan Mohd Tahir mangsa membuat laporan polis selepas diminta membuat pembayaran lagi untuk mengeluarkan ‘keuntungan’ daripada pelaburan itu.
JOHOR BAHRU:
Seorang suri rumah berputih mata apabila kerugian lebih RM750,000 selepas terperdaya skim pelaburan bitcoin dalam talian.

Pemangku Ketua Polis Seri Alam, Mohd Roslan Mohd Tahir dalam kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 47 tahun yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan skim itu.

Beliau berkata wanita itu tertarik untuk menyertai pelaburan berkenaan menerusi Facebook pada akhir Ogos lepas dan dimasukkan ke dalam kumpulan ‘VIP Investment Group (Malaysia)’ serta diberikan penerangan oleh beberapa individu berhubung pelaburan tersebut yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh sebulan.

“Mangsa telah memuat turun aplikasi ‘UVKXE’ bagi memantau bitcoin yang dilabur dan boleh melihat keuntungan yang diperolehi. Mangsa yang tertarik dengan tawaran lumayan itu telah melakukan 12 kali transaksi pembayaran ke tujuh akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM896,813.

“Mangsa dapat melihat keuntungan berjumlah USDT185,838 di dalam aplikasi UVKXE dan ingin membuat pengeluaran wang keuntungan tersebut namun mangsa hanya dibayar keuntungan sebanyak RM144,415 manakala untuk pengeluaran keuntungan seterusnya mangsa diarahkan membayar sebanyak 1% daripada keuntungan tersebut,” katanya.

Roslan berkata wanita itu membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain siasatan juga meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam masa singkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.