Polis terima 24 laporan tipu pakej pelancongan ke Korea Selatan

Polis terima 24 laporan tipu pakej pelancongan ke Korea Selatan

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sebahagian dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna untuk tindakan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata setakat ini kerugian yang dilaporkan mangsa berjumlah RM454,450. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menerima 24 laporan daripada individu mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan dikendalikan seorang pempengaruh dan usahawan tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata nilai kerugian semua mangsa melibatkan RM454,450.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sebahagian kes dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sos Sara Hidup untuk tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Mangsa yang terlibat dinasihatkan segera tampil membuat laporan polis agar satu siasatan yang sewajarnya dapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bagi membendung kes penipuan pakej pelancongan, orang ramai dinasihatkan membuat semakan terhadap pendaftaran agensi pelancongan melalui portal rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi www.motac.gov.my/semakan/ .

Sejak Isnin, tular menerusi media sosial video luahan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pempengaruh dan usahawan yang membuka agensi pelancongan di Korea Selatan.

Menerusi video berkenaan, wanita itu mendakwa dia bersama rombongan ‘terkandas’ di lapangan terbang kerana tiada tiket penerbangan pulang ke tanah air seperti dijanjikan usahawan terbabit sebelum dimaklumkan terdapat masalah teknikal untuk membuat tempahan tiket.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.