Ada baik buruk reformasi pemilihan PKR, kata aktivis, penganalisis

Ada baik buruk reformasi pemilihan PKR, kata aktivis, penganalisis

Bersih memuji kesediaan PKR bereksperimen dengan sistem berbeza, namun kuat kuasa peruntukan baharu libat gender dan komposisi etnik mungkin 'agak sukar'.

Sistem pemilihan PKR menjanjikan kepelbagaian dan kerencaman budaya, tetapi berkemungkinan akan berlaku ‘pemusatan’ struktur kuasa parti, kata Bridget Welsh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis dan penganalisis politik memuji kesediaan PKR menambah baik proses pemilihan, namun menyuarakan keraguan justifikasi terhadap beberapa langkah dan kesan jangka panjangnya ke atas parti.

Pada kongres khas diadakan 15 Dis, PKR meluluskan beberapa siri pindaan perlembagaan, meningkatkan jumlah perwakilan yang akan mengundi enam jawatan tertinggi serta 20 anggota majlis pimpinan pusat, dan prinsip penetapan kuota gender dan etnik.

Pengarah Eksekutif Bersih Ooi Kok Hin, memuji kesediaan parti pimpinan Anwar Ibrahim bereksperimen dengan sistem pemilihan baharu, tetapi mempersoalkan justifikasi Setiausaha Agung Fuziah Salleh bagi perubahan itu.

Ooi Kok Hin.

Sebelum ini, Fuziah mendakwa ahli akar umbi berkemungkinan tidak kenal secara mendalam satu-satu pemimpin dan ada kemungkinan mereka menggunakan cai.

Ooi berkata, anggapan disuarakan mencerminkan kurangnya kepercayaan kemampuan ahli membezakan dan memilih siapa harus memimpin parti.

“Ia juga memaparkan ketidakpercayaan terhadap proses politik demokrasi, dan ia membimbangkan pada pendapat saya,” katanya kepada FMT.

Ooi berkata, perubahan dibuat yang menyaksikan penambahan jumlah undi perwakilan kelihatan penyelesaian kompromi bagi mengimbangi hakikat seorang pemimpin memerlukan sedikit undi untuk memegang jawatan.

Beliau juga percaya PKR akan mendapati “agak sukar” menguatkuasa peruntukan baharu berkaitan komposisi gender dan perwakilan etnik.

“Ini kerana keahlian cawangan parti politik di sesetengah kawasan tidak semestinya menggambarkan komposisi kawasan pilihan raya itu,” katanya sambil menambah mekanisme kuat kuasa syarat baharu, yang belum didedahkan berkemungkinan mengundang cabaran.

Bridget Welsh.

Penganalisis politik Bridget Welsh, memuji sistem baharu menjanjikan kepelbagaian dan kerencaman budaya dalam pimpinan parti.

Beliau berkata, ia akan mengurangkan prospek manipulasi pilihan raya dengan menghadkan keupayaan pemimpin cabang menubuhkan ranting baharu bagi meluaskan sokongan asas.

Namun, Welsh yang juga penyelidik bersekutu di Institut Kajian Asia, University of Nottingham Malaysia juga maklum penambahan jumlah perwakilan layak memilih jawatan tertinggi, berkemungkinan mewujudkan “pemusatan” struktur kuasa parti.

“Ia bukan langkah demokratik, tetapi ia dilihat sebagai penyelesaian mudah kepada masalah semasa.”

Welsh berkata, sistem pemilihan baharu juga akan mewujudkan kesulitan dalam tempoh panjang, termasuk memberikan kelebihan tidak adil buat penyadang.

Beliau menyeru parti memperkenal satu lagi inisiatif pemilihan bagi menyamaratakan persaingan dan membuka laluan bagi bakat baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.