
Tertuduh, Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim yang menetapkan 14 Jan depan untuk hukuman sementara menunggu fakta kes, menurut Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan api, dengan pengetahuan akan menyebabkan kerosakan harta berupa sebuah motosikal jenis Honda RSX bernilai RM7,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Masjid, Pokok Assam, 3.50 petang 26 Dis lalu dan dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ng Wei Jun.
Terdahulu, Fahmi menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain syarat tidak mengganggu dan menghubungi mangsa yang juga pengadu bagi kes itu sehingga ia selesai.
Nabisha kemudian menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti diminta oleh pihak pendakwaan.
Media sebelum ini melaporkan video tular memaparkan seorang wanita bertindak membakar sebuah motosikal berhampiran sebuah gerai.
Ketua Polis Taiping, Mohamad Nasir Ismail, dipetik berkata motif kejadian berpunca tidak berpuas hati kerana motosikal itu hendak ditarik akibat tertunggak selama 20 bulan.