
Perkara ini turut disedari kelompok peniaga di Pasar Awam Tapah Road, yang terletak kira-kira 7km dari pekan, jauh dari pandangan penduduk di penempatan sekitar dan kenderaan yang melewati Jalan Tapah (A10), terlindung oleh pokok-pokok liar dan kelapa sawit.

Menjelang PRK Ayer Kuning, mereka mengharapkan suatu keajaiban daripada wakil rakyat baharu agar pasar berkenaan tidak terus sepi. Meski sewa bulanan yang dibayar kepada Majlis Daerah Tapah serendah RM6 bagi lot terbuka dan RM50 bagi lot kedai, peniaga mengeluh kerana ketiadaan pelanggan.
Dibuka pada 2009, kini hanya lebih kurang empat orang berniaga barang basah daripada kira-kira 24 lot terbuka yang tersedia, dan kira-kira tiga daripada lapan lot kedai sahaja dihuni.
“Pengunjung kadang datang hanya 2-3 orang sehari malah pendapatan sehari RM10-RM15, kadang tak ada langsung orang datang beli. Bila barang tak habis seperti bawang rosak kena buang,” kata seorang peniaga barang runcit, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Mah, 62.

Kelompok kecil peniaga ini juga perlu bersaing dengan pasar raya di pekan, katanya.
“Kami bertahan sebab harap keajaiban kalau selepas ini kawasan perumahan baharu dibina sekitar ini dan serta harap ada campur tangan wakil rakyat baharu.”
Seorang peniaga santan, Muhamad Firdaus Mazlan, 41, pula terpaksa mengambil tempahan dalam talian dan menghantar produk terus ke rumah pelanggan dan kedai makan.

“Kalau nak harap orang kampung datang payah, mereka tak mahu datang jauh ke dalam hutan,” katanya.
“Sehari nak dapat RM100 susah. Pembeli masuk pasar ini hari-hari tak ramai sekitar 30 orang dan yang masuk itu bukan semua beli santan.”
Harap YB lebih cakna
Muzafar Anes, 26, seorang peniaga barang basah, berharap pihak berwajib mengadakan kegiatan berkala di Pasar Awam Tapah Road untuk tarik pengunjung, misalnya pasar tani dua minggu sekali.
Manakala Riduan Malek, 59, seorang peniaga santan, berharap wakil rakyat baharu lebih cakna dan mencadangkan naik taraf laluan masuk ke pasar serta kemudahan di situ.
Che Husin Din, 64, yang juga berniaga di situ, mencadangkan kerajaan memindahkan pasar ke lokasi berhampiran jalan utama, mengambil maklum peruntukan RM6.13 juta yang diumumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk Tapah.
“Guna sedikit dana itu untuk pindah lokasi pasar ke tepi jalan utama dan kawasan ini boleh beri kepada mana-mana syarikat atau buat tempat aktiviti sesuai dengan lokasinya yang ke dalam hutan,” katanya.
Seorang penduduk, Muhamad Muslim Mohd Zaman, 35, mengesahkan bahawa mereka tidak mengunjungi pasar berkenaan kerana lokasi, selain tidak banyak peniaga.
“Kami setuju kalau pasar ini dipindah ke tepi jalan utama untuk hidupkan balik kawasan ini. Kalau tak ia kekal mati sebab jauh ke dalam hutan,” katanya.
Rakyat DUN Ayer Kuning akan memilih wakil mereka pada 26 April. Barisan Nasional mempertahankan kerusi daripada Perikatan Nasional, dan Parti Sosialis Malaysia.