
Menurut Miti, kerajaan memandang sebarang percubaan mengelak tarif melalui pengisytiharan palsu, sama ada berkaitan dengan nilai barangan mahupun negara pengeluar asal barangan, sebagai kesalahan serius.
“Bagi menangani isu kemungkinan pemunggahan kargo dari negara tertentu ke pasaran Amerika Syarikat (AS) melalui pintu masuk dan keluar Malaysia, semua NPCO untuk penghantaran ke AS akan dikeluarkan oleh Miti berkuat kuasa 6 Mei 2025,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, semua pengeluaran NPCO ke pasaran AS oleh majlis perniagaan, dewan atau persatuan dilantik oleh Miti berdasarkan garis panduan pengeluaran NPCO ditetapkan oleh Miti akan dihentikan serta-merta.
Sementara itu, Miti akan menambah baik audit semua permohonan NPCO, menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Jabatan Kastam untuk membendung sebarang cubaan pemunggahan kargo ke AS.
“Kerajaan Madani menegaskan bahawa komitmennya tidak berbelah bahagi untuk menegakkan integriti amalan perdagangan antarabangsa,” katanya.