
Memaklumkan perkara itu pada sesi penggulungan sidang khas Dewan Rakyat berkait tarif timbal balas AS, Tengku Zafrul berkata beliau dimaklumkan oleh Kementerian Luar, sedang menunggu kelulusan AS.
“Saya difahamkan oleh Kementerian Luar, proses telah berjalan dan kita sedang menunggu keputusan dari pihak AS,” katanya.
Sebelum itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) bangun bertanya bila kerajaan mahu melantik duta besar Malaysia ke AS bagi membantunya berunding dengan kerajaan AS mengenai tarif 24% terhadap produk Malaysia dieksport ke negara ‘Uncle Sam’ itu.
Pada 4 April, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan calon duta besar Malaysia ke AS telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Jawatan duta besar Malaysia ke AS kosong sejak 10 Feb lalu apabila bekas Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menamatkan perkhidmatan dua tahunnya.