Rampasan RM5.11 juta, pemandu e-panggilan ketuai sindiket dadah tumpas

Rampasan RM5.11 juta, pemandu e-panggilan ketuai sindiket dadah tumpas

Sindiket dikenali 'Geng Alstonia' mengedar dadah di pusat hiburan sekitar Lembah Klang sejak lapan bulan lalu.

HUSSEIN OMAR KHAN
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata antara dadah dirampas melibatkan MDMA, cecair jus minuman mengandungi dadah, ketamin, pil ekstasi, dan pil eramin 5. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
‘Geng Alstonia’ diketuai pemandu e-panggilan yang menjadikan pusat hiburan sekitar Lembah Klang sebagai lubuk menjual dadah tumpas, susulan rampasan pelbagai jenis bahan terlarang itu bernilai RM5.11 juta.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata sindiket itu juga menjual dadah kepada orang perseorangan secara bersemuka serta melalui dalam talian.

Katanya, dalam lima serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan negeri ini pada 3 Jun, pihak berkuasa memberkas ketua sindiket, iaitu lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai pemandu e-panggilan bersama pasangan kekasih warga asing yang dipercayai aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah, sejak lapan bulan lalu.

Serbuan pertama di sebuah rumah di Bukit Jalil lebih kurang 5.50 petang yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing serta merampas dadah jenis serbuk MDMA dan cecair jus minuman dipercayai mengandungi dadah, masing-masing seberat 4,656g dan 3,000ml.

“Serbuan kedua di sebuah rumah di Semenyih dan menangkap seorang lelaki tempatan serta merampas serbuk dipercayai dadah jenis MDMA seberat 230g, disusuli serbuan ketiga pada 6.10 petang di Puchong dan menahan seorang lagi suspek lelaki tempatan serta menemukan dadah jenis ekstasi seberat 966.10g.

“Pada 10.30 malam, polis melakukan serbuan keempat di sebuah rumah di sekitar Kajang dan menahan seorang lelaki tempatan selain merampas 110 katrij vape dipercayai mengandungi dadah seberat 2,880g,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Shah Alam.

Hussein berkata, suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di sekitar Kajang dan merampas serbuk MDMA seberat 21,452g, ketamin (4,722g), pil ekstasi (641g), dan pil eramin 5 dengan anggaran berat 1,960g.

Beliau berkata, polis kemudian menahan tiga lelaki tempatan dan seorang perempuan tempatan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang disyaki terlibat sindiket berkenaan.

“Selain ketua sindiket serta kekasihnya yang tinggal di negara ini sejak 10 tahun lalu, tujuh lagi suspek yang semuanya berusia dalam lingkungan 24 hingga 38 tahun bekerja sebagai peniaga makanan, personal shopper (pembeli-belah peribadi), dan tukang gunting rambut.”

Beliau berkata, turut dirampas dalam serbuan itu ialah lima kereta jenis Proton Preve, Toyota Vios, Hyundai Sonata, BMW 320i dan Honda Civic, barang kemas, jam tangan, beg tangan berjenama LV dan wang tunai pelbagai mata wang dengan nilai sitaan keseluruhan RM341,449.16.

“Kejayaan ini hasil risikan selama dua bulan dan semua suspek direman tujuh hari, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.