
Jurucakap Kementerian Luar Jepun, Kitamura Toshihiro, mengulangi komitmen Tokyo terhadap Palestin menerusi Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (Ceapad) yang diterajui Jepun sejak dilancarkan pada 2013.
“Kami percaya Asia Tenggara merupakan rantau paling berjaya di dunia dari segi pembangunan ekonomi, dan kami ingin memanfaatkan kepakaran ini bagi pembangunan ekonomi dan pembinaan semula Palestin,” kata Kitamura dalam temu bual bersama FMT di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean minggu ini.
“Ceapad adalah antara usaha utama yang diambil Jepun bagi menyokong pembangunan negara Palestin.”
Kenyataan beliau hadir ketika krisis kemanusiaan dan politik di Gaza semakin meruncing susulan konflik berpanjangan dan peningkatan korban orang awam.
Menteri Luar Mohamad Hasan, selaku pengerusi Ceapad, mengumumkan sumbangan sebanyak USD1 juta (RM4.25 juta) yang akan disalurkan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan Bulan Sabit Merah Palestin.
Ketika tumpuan dunia kekal kepada gencatan senjata dan diplomasi, Kitamura menegaskan bahawa Jepun sedang melaksanakan strategi jangka panjang dengan membina daya tahan institusi dan ekonomi melalui kerjasama serantau.
“Kami mahukan kerjasama yang praktikal, bukan sekadar menyatakan hasrat,” katanya.
Visi pembangunan serantau yang inklusif
Sokongan Jepun terhadap Palestin merupakan sebahagian daripada pendekatan serantau yang lebih luas, yang turut merangkumi inisiatif dalam bidang iklim dan tenaga.
Ini termasuk Komuniti Asia Pelepasan Sifar (Azec), yang mempromosikan pembangunan mampan tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Meskipun tidak terikat secara langsung dengan Ceapad, strategi pembangunan hijau Jepun memperkukuh pendekatannya secara menyeluruh untuk mengimbangkan pertumbuhan ekonomi lestari dengan penjagaan alam sekitar.
“Di negara Asean, kami percaya adalah tidak realistik untuk menuntut peralihan serta-merta ke ekonomi sifar karbon.
“Sebaliknya, kami menyokong teknologi peralihan yang mengurangkan pelepasan karbon sambil mengekalkan momentum ekonomi – seperti teknologi pembakaran bersama ammonia dan bahan api hidrogen,” kata Kitamura.
Pendekatan ini dilihat mampu memberi nilai kepada usaha pembinaan semula Palestin, khususnya dalam bidang ketahanan tenaga, infrastruktur hijau dan penciptaan pekerjaan.
Jepun kini sudah memudahcara beberapa projek bersama di Asia Tenggara melibatkan pengeluaran hidrogen dan biojisim, termasuk dengan rakan seperti Petronas dan Tenaga Nasional Berhad.
Kenyataan Kitamura mencerminkan perubahan dalam dasar luar Jepun – daripada model bantuan atas ke bawah kepada pendekatan pertumbuhan serantau bersama, khususnya dengan negara Selatan Global.
“Kami komited terhadap suatu peraturan antarabangsa yang bebas dan terbuka, tetapi kita juga mesti menangani cabaran global secara bersama,” katanya.
Beliau berkata peranan Jepun di Asia Tenggara bukan sebagai penyumbang atau pengajar, tetapi sebagai rakan pencipta bersama.
“Kami tidak mahu hubungan seperti guru dengan murid atau abang dengan adik. Pendekatan kami berasaskan penciptaan bersama dan kepercayaan,” katanya.
“Kami mengubah imej kami dalam tempoh 50 tahun. Kami bangga apabila tinjauan menunjukkan Jepun adalah antara rakan paling dipercayai di rantau ini selama tujuh tahun berturut-turut.
“Itu hasil tindakan konkrit kami, dan sumbangan kepada negara-negara Asean.”