
Di sebalik perbezaan sebanyak RM2 bilion, angka bagi tahun depan itu mewakili 19.7% daripada KDNK iaitu peningkatan sebanyak 1.7% berbanding belanjawan disemak 2025.
Ini juga kali kedua sahaja belanjawan negara melepasi paras RM400 bilion.
Seperti kelaziman, perbelanjaan mengurus (OE) menelan sebahagian besar belanjawan negara, kali ini 80.7% iaitu sebanyak RM338.2 bilion.
Angka tersebut bersamaan 15.9% daripada KDNK, iaitu meningkat 1.8% daripada belanjawan disemak 2025.
Bagi perbelanjaan pembangunan (DE) pula, pentadbiran Anwar Ibrahim memperuntukkan RM81 bilion.
Emolumen, subsidi dan bantuan sosial
Emolumen kekal sebagai komponen terbesar OE, diunjur meningkat sebanyak 5.6% kepada RM109.4 bilion.
Peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Fasa II, termasuk kenaikan gaji pokok 7% bagi penjawat awam Gred 15 dan ke bawah.
Subsidi dan bantuan sosial pula merangkumi 14.5% daripada OE, diunjur berkurang sebanyak 14.1% kepada RM49 bilion.
Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh harga komoditi global yang lebih rendah, dan usaha rasionalisasi subsidi termasuk pelaksanaan BUDI95.
Perbendaharaan memaklumkan sebanyak 56% daripada RM49 bilion itu disalurkan kepada bantuan sosial dan insentif bagi menyokong golongan rentan, khususnya Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah.
Dalam pada itu, sebanyak RM7.7 bilion daripada RM9.8 bilion yang diperuntukkan untuk pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri diberi kepada Sabah dan Sarawak.
Pembangunan
Sementara itu, RM81 bilion yang diperuntukkan bagi DE disediakan bagi membiayai 2,300 program dan projek baharu dalam tahun pertama Rancangan Malaysia ke-13.
Sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar, iaitu 45.4% bersamaan RM36.8 bilion.
Daripada jumlah tersebut, RM17.5 bilion disalurkan kepada subsektor pengangkutan, merangkumi 47.7% daripada sektor ekonomi.
Penumpuan diberi kepada peningkatan ketersambungan di seluruh negara dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Dalam pada itu, sebanyak RM3.8 bilion diperuntukkan untuk subsektor alam sekitar, disusuli dengan pelaksanaan projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir di seluruh negara.
Sementara itu, RM7 bilion disediakan untuk subsektor kesihatan bagi meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan, menaik taraf peralatan perubatan dan bukan perubatan, serta meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Sementara itu, RM1.5 bilion diperuntukkan kepada subsektor perumahan, untuk membiayai projek sedia ada dan baharu termasuk projek di bawah Program Bantuan Rumah dan Program Rumah Mesra Rakyat.