
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata gesaan itu dibuat susulan laporan media yang mendakwa perjanjian AS dan Indonesia pada Julai lalu kini berdepan risiko terbatal.
Reuters melaporkan ada dakwaan Washington yang Jakarta telah menarik balik beberapa komitmen dipersetujui sebelum ini. Namun jurucakap Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Haryo Limanseto, berkata dinamika dalam proses rundingan adalah perkara biasa.
Hamzah yang juga timbalan pengerusi PN berkata sebagai negara jiran dan rakan strategik, pendirian Indonesia wajar menjadi indikator penting bagi menilai bagaimana negara-negara ASEAN melihat kesan sebenar perjanjian ini.
Menurutnya, Malaysia tidak boleh hanya menerima pujian daripada Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Scott Bessent sebagai ‘good actor’ tanpa memahami kos dan implikasi sebenar di sebaliknya.
“PN mendesak kerajaan segera mengenal pasti terma dianggap Indonesia sebagai bermasalah, mengikat atau berat sebelah dan dedahkan apakah terma itu turut terkandung dalam Perjanjian ART ditandatangani antara Malaysia dan Amerika.
“PN turut menuntut kerajaan menilai kembali, mengkaji implikasi dan mempertimbangkan rundingan semula sekiranya termaterma tersebut boleh menjejaskan ruang dasar, kedaulatan ekonomi, ataupun kepentingan industri negara pada jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.
Malaysia menandatangani ART dalam lawatan Presiden AS Donald Trump ke negara ini sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47, Oktober lalu.
Pada 1 Dis lalu, Tengku Zafrul Aziz yang menjawat jawatan menteri pelaburan, perdagangan dan industri semasa itu menegaskan keputusan kerajaan menandatangani perjanjian itu bukan tindakan tergesa-gesa.
Beliau turut menafikan ART menggadai kedaulatan negara dan tidak menjejaskan hak Bumiputera seperti didakwa.