Dashboard MA63 dilancar hujung bulan ini

Dashboard MA63 dilancar hujung bulan ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi urusan Sabah dan Sarawak Mustapha Sakmud berkata ia bagi meningkatkan ketelusan dan akses maklumat, khasnya berkaitan tuntutan hak 40% Sabah.

Mustapha Sakmud
Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi urusan Sabah dan Sarawak Mustapha Sakmud berkata orang ramai boleh mengakses Dashboard Status Terkini Perkara di bawah MA63 melalui portal rasmi BHESS JPM akhir bulan ini.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan melancarkan Dashboard Status Terkini Perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang boleh diakses orang ramai hujung bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi urusan Sabah dan Sarawak, Mustapha Sakmud, berkata ia sebagai langkah meningkatkan ketelusan dan akses maklumat, khususnya berkaitan tuntutan hak 40% Sabah.

“Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof telah bersetuju supaya Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) JPM membangunkan Dashboard Status Terkini Perkara di bawah MA63 yang dijangka boleh diakses melalui Portal Rasmi BHESS JPM pada hujung Januari,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, usaha memperkukuh platform rundingan MA63 dipacu melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan Jawatankuasa Teknikalnya dipengerusikan Fadillah.

Menurutnya, 29 perkara MA63 telah dibincangkan melalui MTPMA63 sehingga kini, dengan 13 perkara berjaya diselesaikan – sembilan bawah kerajaan semasa dan empat bawah pentadbiran terdahulu.

“Ini pencapaian terbaik kerajaan Madani berbanding perdana menteri dan kerajaan terdahulu dalam menguruskan pelaksanaan MA63,” katanya sambil menambah 16 perkara sedang dirunding secara berterusan antara Putrajaya, kerajaan Sabah dan Sarawak melalui MTPMA63.

“BHESS juga akan meneruskan usaha mengadakan sesi libat urus dengan kementerian serta agensinya, pihak industri, akademia, NGO dan pihak berkaitan untuk memantapkan pelaksanaan MA63.”

Mustapha berkata, kerajaan akan terus memelihara hak, kepentingan dan kemajuan Sabah serta Sarawak selaras semangat MA63 demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.