1 rakyat Malaysia dilapor maut bangunan runtuh di Filipina

1 rakyat Malaysia dilapor maut bangunan runtuh di Filipina

Bangunan sembilan tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh awal pagi tadi.

Anggota penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat di tapak bangunan runtuh di Angeles City di utara Filipina. (Gambar Facebook/One North Central Luzon)
PETALING JAYA:
Seorang rakyat Malaysia yang terperangkap di sebuah hotel apartmen berhampiran bangunan runtuh di Bandar Angeles, dilaporkan meninggal dunia di Pampanga, utara Filipina, menurut media tempatan.

Bernama memetik Xinhua, berkata seramai 26 individu berjaya diselamatkan selepas sebuah bangunan sembilan tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh awal Ahad, di Bandar Angeles.

Seramai 24 orang dikeluarkan dari struktur bangunan yang runtuh itu, manakala dua lagi diselamatkan dari hotel apartmen berhampiran yang turut terjejas akibat insiden berkenaan.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan menzahirkan simpati mendalam kepada semua pihak yang terkesan akibat insiden ini.

“Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau keadaan warganegara yang selamat serta mengesahkan status dan keberadaan seorang lagi rakyat Malaysia yang terlibat.

“Pada masa yang sama, segala usaha sewajarnya sedang diambil bagi mengesan dan menghubungi waris kepada kedua-dua individu berkenaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.