
Ketua Polis Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Miri menerima lima laporan polis berhubung kes itu Jumaat lalu.
Jelasnya, semua mangsa berurusan dengan suspek yang menyamar sebagai pekerja agensi kerajaan dan menawarkan pesanan penghantaran ‘door gift’ kepada agensi terbabit.
Menurutnya, suspek membuat permintaan barangan yang bukan dijual mangsa dan kemudian memberi nombor telefon pembekal yang kononnya dapat membekalkan barangan dikehendakinya.
“Mangsa diperdaya untuk membuat tempahan daripada suspek sehingga menyerahkan wang dalam talian ke akaun keldai,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan dengan agensi kerajaan terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pesanan atau tender daripada agensi kerajaan atau swasta dalam talian, dengan membuat pengesahan melalui panggilan telefon atau ke agensi terbabit sebelum berurusan dengan mana-mana pihak.
“Jangan mudah terpedaya dengan penggunaan kepala surat agensi kerajaan atau swasta kerana ia boleh dipalsukan.”
Beliau meminta orang ramai diminta menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997, jika menjadi mangsa penipuan siber atau melakukan transaksi pemindahan wang ke akaun disyaki sindiket penipuan.