Anggota tentera mengaku tak salah tendang perut, tampar anak

Anggota tentera mengaku tak salah tendang perut, tampar anak

Tertuduh didakwa menendang perut dan menampar muka anak lelakinya berusia 10 tahun di sebuah rumah di Kampung Kijang pada 11 Mei 2024.

mahkamah kota bharu
Mahkamah Sesyen Kota Bharu membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
KOTA BHARU:
Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganiaya anak lelakinya dua tahun lepas.

Zainudin Zainal Abidin, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun satu bulan dengan cara menendang perut dan menampar muka sehingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan gangguan emosi di sebuah rumah di Kampung Kijang, di sini, kira-kira 7.30 malam 11 Mei 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, manakala peguam Samsul Bahrin memohon jaminan rendah diberikan kepada anak guamnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 24 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.