
Kenyataan Anwar itu menyusul susulan dakwaan Presiden AS Donald Trump semalam, bahawa perjanjian damai bersama Iran ‘sebahagian besarnya telah dirundingkan’, walaupun masih tertakluk kepada pemuktamadan.
“Saya melihat perkembangan ini dengan penuh keyakinan,” kata perdana menteri dalam catatan di media sosial.
Anwar mengambil maklum peranan membina dimainkan Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turki, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memudahkan proses berkenaan, selain menyambut baik penglibatan peribadi Trump mengusahakan hasil rundingan itu.
“Kami berharap semua pihak akan merebut peluang ini dan meneruskan rundingan sehingga berjaya mencapai penamat,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha pelbagai hala yang menyumbang ke arah keamanan berkekalan di Asia Barat.
“Kita menyeru semua pihak untuk mencapai satu perjanjian rangka kerja inklusif mengukuhkan gencatan senjata sedia ada, memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz, dan menangani kepentingan keselamatan yang sah bagi semua negara di rantau berkenaan,” katanya.
Di bawah rangka kerja sedang dirangka, perjanjian itu dilaporkan merangkumi lanjutan gencatan senjata selama 60 hari yang menyaksikan Selat Hormuz akan dibuka semula, Iran akan dibenarkan menyambung semula penjualan minyak, dan rundingan diteruskan berkait penangguhan program nuklearnya.
Sebagai balasan, AS akan menarik balik sekatan terhadap pelabuhan Iran dan memberikan beberapa pengecualian sekatan bagi membolehkan Iran menjual bebas minyak, kata kenyataan itu lagi.