
Beliau berkata demikian sebagai susulan rungutan ketua-ketua pengarang memaklumkan terdapat platform tertentu termasuk TikTok tidak membenarkan organisasi media menjana pendapatan atau memperoleh pulangan daripada kandungan diterbitkan.
Fahmi berkata, organisasi media seharusnya diberikan peluang memperoleh pulangan daripada jumlah penonton yang mengikuti kandungan menerusi platform rasmi mereka.
“Ramai rakan media bertanya mengapa mereka tidak dapat menjana pendapatan daripada siaran langsung yang mereka lakukan dan saya ingin menyampaikan mesej daripada ketua-ketua pengarang kepada ketua dasar awam TikTok Malaysia supaya perkara ini dapat dipertimbangkan.
“Organisasi media merasakan terdapat keperluan untuk mereka mencari sumber pendapatan daripada siaran langsung dan kandungan dihasilkan, yang pada pandangan saya mempunyai kualiti sangat tinggi,” katanya menurut Bernama ketika berucap majlis penutup Sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026, di Kuala Lumpur.
Katanya, isu berkenaan bukan hanya melibatkan TikTok kerana kebanyakan platform media sosial turut mendapat manfaat daripada kandungan dihasilkan organisasi media dan akaun media rasmi.
“Jadi, saya memohon dan saya bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan TikTok bagi melihat apa yang boleh dilakukan untuk membantu organisasi media di Malaysia.
“Jika sesebuah organisasi media mengadakan siaran langsung yang menarik puluhan ribu atau ratusan ribu penonton melalui akaun rasmi mereka, tetapi penonton tidak dapat memberikan hadiah maya atau sumbangan kewangan walaupun mereka menonton kerana jenama media itu sendiri, maka seharusnya ada bentuk pulangan daripada platform seperti TikTok.”
Beliau berkata, kementerian akan terus bekerjasama dengan platform media sosial bagi memastikan ekosistem media negara dapat berkembang secara mampan, termasuk meneroka model penjanaan pendapatan yang lebih sesuai untuk organisasi media tempatan.