
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata retorik tegas ketua Pemuda Umno itu kelihatan bertentangan pendirian semasa parti itu yang menganggotai kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
“Ini mewujudkan keseimbangan politik rumit ketika Umno cuba meyakinkan penyokong Melayu sambil kekal sebagai sebahagian daripada gabungan pemerintahan berbilang kaum,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, jurang antara kerjasama Umno di peringkat nasional dengan retorik akar umbi boleh menyebabkan pengundi keliru tentang hala tuju sebenar parti itu.

Beliau mengulas kenyataan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, bahawa kebergantungan Akmal kepada “skrip politik lama” dilihat perlu untuk mengelakkan Umno terus kehilangan sokongan pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).
Khairy turut mencadangkan Presiden Umno, Zahid Hamidi, bertolak ansur dengan gaya politik kontroversi Akmal kerana wujud “ancaman jelas dan nyata di aliran politik konservatif yang kini didominasi PN”.
Hisommudin mengakui politik identiti masih mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu, tetapi terlalu bergantung kepada formula politik lama tidak memadai untuk memastikan pemulihan jangka panjang Umno
Menurutnya, pengundi muda Melayu semakin didorong isu seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, kemampuan memiliki rumah dan integriti tadbir urus berbanding retorik kaum semata-mata.
“PN berjaya meraih sokongan besar pengundi muda bukan disebabkan politik identiti semata-mata, tetapi kerana ia mampu menyampaikan mesejnya dengan cara lebih agresif, meyakinkan dan berkesan secara digital.
“PN mungkin dapat terus menguasai segmen pengundi muda Melayu jika Umno hanya mengulangi retorik lama tanpa pembaharuan dari segi organisasi dan naratif.”
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali bagaimanapun berkata, Umno tidak mempunyai banyak pilihan kecuali menghidupkan semula elemen mesej tradisional berasaskan nasionalisme Melayu untuk kekal berdaya saing dengan PN dan PAS.

Jelasnya, Umno bergelut untuk menguasai semula naratif Melayu-Islam selepas kekalahan besar pada PRU14 dan PRU15, dengan sebahagian pengundi Melayu menganggap parti itu menjadi terlalu liberal dan kurang komited untuk mempertahankan kepentingan Melayu.
“Saya secara peribadi bersetuju dengan pandangan Khairy bahawa Umno masih memerlukan skrip politik lama kerana ia tidak lagi mampu bersaing dengan PN.”
Katanya, kerjasama Umno dengan PH telah menjadikan parti itu lebih terdedah kepada serangan PAS dan PN, khasnya dakwaan ia dipengaruhi DAP.
Beliau berkata, membenarkan Akmal menerima pakai pendekatan lebih keras bertujuan meyakinkan pengundi Melayu bahawa Umno masih berpegang kepada prinsip politik tradisionalnya, sambil menyifatkan parti itu pragmatik dan mungkin menyesuaikan pendekatannya mengikut perubahan keadaan politik semasa.