Kemelut MB NS: Istana penentu langkah seterusnya, kata penganalisis

Kemelut MB NS: Istana penentu langkah seterusnya, kata penganalisis

Chin Yee Mun berkata Yang di-Pertuan Besar boleh mempertimbang sama ada membubarkan DUN atau melantik menteri besar baharu, bergantung pada keadaan politik semasa.

TUANKU MUHRIZ TUANKU MUNAWIR
Keputusan sama ada DUN Negeri Sembilan perlu dibubarkan atau menteri besar baharu dilantik terletak pada pertimbangan Yang di-Pertuan Besar, kata penganalisis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan sama ada DUN Negeri Sembilan perlu dibubarkan atau menteri besar baharu dilantik terletak pada pertimbangan Yang di-Pertuan Besar, sekiranya kedudukan Aminuddin Harun terus dipertikai, kata penganalisis.

Chin Yee Mun dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata cadangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan supaya Aminuddin mempertimbangkan pembubaran DUN selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen dan peruntukan perlembagaan.

Beliau secara peribadi berpandangan saranan itu wajar berdasarkan Perlembagaan dan prinsip demokrasi berparlimen negara kita.

“Mengikut prinsip demokrasi berparlimen, selepas bermesyuarat keputusan boleh dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar.

“Selepas itu, terpulang kepada baginda membuat keputusan sama ada membubarkan DUN ataupun melantik menteri besar baharu,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat mencadangkan Aminuddin mempertimbangkan pembubaran DUN Negeri Sembilan sebagai jalan terbaik meredakan krisis politik di negeri itu.

Menurut Adun Rantau itu, mandat wajar dikembalikan kepada rakyat untuk memilih pentadbiran negeri baharu, memandangkan 14 Adun Umno didakwa sudah hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi pada 30 April lalu berkata Umno kekal menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan dan menjelaskan tindakan mereka bukan bertujuan ‘menebuk atap’ sebaliknya memastikan institusi raja dan institusi adat terus dihormati.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang masing-masing menang 17 serta 14 kerusi pada PRN 2023 bekerjasama membentuk kerajaan Negeri Sembilan.

Aminuddin baru-baru ini dipetik berkata beliau tidak menolak kemungkinan PRN diadakan tahun ini, serentak dengan Melaka serta Johor.

Sementara itu, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata pembubaran DUN boleh menjadi langkah terbaik sekiranya kemelut politik itu tidak dapat diselesaikan.

“Saya berpandangan sewajarnya DUN Negeri Sembilan dibubar kerana menteri besar Aminuddin telah kehilangan sokongan.

“Beliau perlu berjiwa besar dan serahkan kembali mandat kepada rakyat kerana jika dibiarkan melarat, pentadbiran Negeri Sembilan akan terganggu, malah sehingga hari ini sidang DUN masih tidak dilaksanakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.