Kementah nilai tawaran negara lain ganti peluru berpandu Norway, kata Khaled

Kementah nilai tawaran negara lain ganti peluru berpandu Norway, kata Khaled

Menteri pertahanan berkata antara perkara utama dinilai sama ada penggantian sistem misil itu memerlukan rombakan besar terhadap struktur kapal siap dibina.

kongsberg
Menteri Pertahanan Khaled Nordin, berkata sekurang-kurangnya empat negara mengemukakan tawaran penggantian peluru berpandu antikapal susulan tindakan pembatalan misil oleh kerajaan Norway. (Gambar Kongsberg Defence)
PETALING JAYA:
Tawaran beberapa negara bagi menggantikan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) sedang dinilai Kementerian Pertahanan (Kementah) susulan pembatalan pembekalan oleh syarikat pertahanan Norway.

Menteri Khaled Nordin, berkata pertemuan turut diadakan dengan beberapa pihak sempena lawatan beliau ke Turki bagi mendapatkan cadangan bersesuaian untuk pertimbangan tentera laut.

“Setakat ini ada tiga hingga empat negara (yang mengemukakan tawaran)…negara yang kita yakin dan percaya mereka ikhlas dan ingin membantu kita.

“Kita sedang mengadakan pertemuan terutamanya dengan tentera laut untuk beri penyelesaian dan tentera laut tentunya akan lakukan penilaian terhadap empat tawaran ini sebelum dibawa kepada kerajaan,” katanya kepada Bernama di Istanbul sempena upacara penamaan dan pelancaran Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2).

Upacara penamaan dan pelancaran LMSB2 pertama, Tunku Laksamana Abdul Jalil, disempurnakan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di limbungan kapal Istanbul.

Khaled berkata, antara perkara utama dinilai ialah sama ada penggantian sistem misil tersebut memerlukan rombakan besar terhadap struktur kapal yang telah siap dibina.

“Dalam pertimbangan yang kita buat ialah pertama keyakinan dan kepercayaan kita kepada tawaran daripada negara-negara yang tertentu itu. Kedua, dari segi sama ada perlu lakukan rombakan besar kepada kapal yang sudah siap itu, ketiga soal kos dan keempat soal serahan.

“Setiap perkara ini, kriteria-kriteria itu berkait, jadi ia ambil masa yang panjang. Atas sebab itulah kita tuntut, sebab ini semua memberi kita masalah,” katanya.

Mengenai tindakan susulan terhadap Norway, Khaled berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang perkembangan terkini selepas notis tuntutan dihantar kepada syarikat pengeluar di negara itu.

Menurutnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Norway pada Dialog Shangri-La 2026 di Singapura hujung bulan ini.

“Kita ada beritahu kita nak bertemu dengan Menteri Pertahanan Norway. Sama ada ia bermanfaat ataupun tidak, tidak mengapa. Sekurang-kurangnya saya boleh jumpa dan maklumkan yang kita tidak gembira dengan tindakannya,” katanya.

Kementerian Luar Norway dilaporkan telah menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara tentera laut dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.

Peluru berpandu itu berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300km.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.