
Setiausaha Agung Loke Siew Fook, berkata pandangan itu sudah dimaklumkan kepada Menteri Besar Aminuddin Harun untuk dirujuk kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, tertakluk perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Kalau kita teruskan begini pun susah kerana kita pun tidak tahu kadangkala ada sokongan tapi kemungkinan pada bila-bila masa sokongan itu ditarik balik.
“Jadi, adalah lebih baik PRN diadakan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat. Itu telah jelas kita buat ketetapan itu dan mesej itu yang kita sampaikan minggu lalu iaitu sebagai satu pilihan PH Negeri Sembilan bubarkan DUN sama dengan Johor supaya diadakan pilihan raya serentak,” katanya menurut Berita Harian, di Seremban.
Beliau tidak menolak kemungkinan tiga negeri di selatan termasuk Melaka diadakan PRN serentak.
Pada Jumaat, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan turut mencadangkan Aminuddin menimbangkan pembubaran DUN yang disifatkan jalan terbaik meredakan krisis politik.
Katanya, Aminuddin perlu mengembalikan semula mandat kepada rakyat dalam membuat keputusan untuk memilih pentadbir negeri yang baharu, memandangkan 14 Adun Umno sudah hilang kepercayaan terhadapnya.
Pada 30 April, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata 14 Adun Umno Negeri Sembilan kekal menyokong kerajaan perpaduan negeri, di sebalik penarikan sokongan terhadap Aminuddin sebelum itu.
Zahid berkata, pendirian itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan dengan semua Adun terbabit bagi meneliti semula keadaan sebenar serta memperbetulkan persepsi yang timbul.
Dalam pada itu, Loke ketika mengulas mengenai cadangan BN Johor bertanding semua kerusi pada PRN akan datang, beliau berkata, perkara tersebut juga sudah dinyatakan bahawa PH akan bertanding semua kerusi termasuk di Negeri Sembilan.
“Mereka (BN) dah nyatakan dan kita (PH) pun sudah nyatakan hasrat kita (untuk bertanding semua kerusi). Di Negeri Sembilan pun kita nyatakan hasrat untuk bertanding semua kerusi,” katanya.