Majoriti kes Covid-19 gejala ringan, kata KKM

Majoriti kes Covid-19 gejala ringan, kata KKM

KKM turut mengesan beberapa subvarian baharu namun tidak menunjukkan kecenderungan mencetuskan gelombang jangkitan serius.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata jangkitan Covid-19 kini diuruskan dalam kategori jangkitan saluran pernafasan lazim seperti selesema biasa dan influenza.
PETALING JAYA:
Situasi Covid-19 di negara ini kekal stabil selain menunjukkan trend ketara berbanding tahun lalu dengan tiada kematian direkodkan setakat ini, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, walaupun negara jiran melaporkan peningkatan kes baru-baru ini, jumlah kes Covid-19 di Malaysia sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 19/2026, menurun 12.6% (9,682 kes), berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Meskipun terdapat peningkatan sebanyak 0.7 peratus (iaitu 575 kes berbanding ME18/2026), situasi ini kekal terkawal.

“Hal ini kerana, majoriti besar kes dilaporkan hanyalah melibatkan gejala ringan yang tidak memerlukan rawatan di hospital,” menurut kenyataan itu.

KKM berkata, aktiviti penjujukan genomik yang dijalankan secara berterusan turut mengesan beberapa subvarian baharu dalam komuniti, namun ia tidak menunjukkan kecenderungan mencetuskan gelombang jangkitan serius.

“KKM akan terus memperkukuh saringan pengembara di pintu masuk antarabangsa dan bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam aktiviti pemantauan dan kesiapsiagaan kesihatan awam bagi memastikan pengesanan awal dan tindakan segera dapat dilaksanakan, sekiranya berlaku peningkatan risiko penularan Covid-19 dari luar negara.”

KKM memaklumkan jangkitan Covid-19 kini diuruskan dalam kategori jangkitan saluran pernafasan lazim seperti selesema biasa dan influenza.

Orang ramai disaran agar terus mengamalkan penjagaan kesihatan kendiri termasuk menjaga kebersihan tangan, memakai pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di kawasan sesak, serta mendapatkan perlindungan vaksinasi.

“Pengambilan vaksin amat digalakkan khususnya bagi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, golongan imunokompromi, dan wanita hamil bagi mengurangkan risiko komplikasi jangkitan.

“Perkhidmatan vaksinasi ini boleh didapati di klinik kesihatan kerajaan terpilih di seluruh negara,” menurut kenyataan berkenaan.

Bernama pada Khamis melaporkan, Singapura merekodkan pertambahan jangkitan Covid-19 dengan 12,700 kes dilaporkan bagi minggu 10 hingga 16 Mei, berbanding 8,000 kes pada minggu sebelumnya.

Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) Singapura, berkata purata kemasukan harian ke hospital akibat Covid-19 meningkat daripada 56 kepada 73 kes, dengan satu kes harian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.