
Biro politik Bersatu menerangkan PAS tidak memberi maklum balas kepada cadangan Bersatu maka ia membuat keputusan berdasarkan pendirian bahawa kerjasama tidak boleh diadakan dengan Umno kerana parti itu tidak memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya lagi, Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali memberikan jawapan mengenai kronologi peristiwa dan perbincangan dengan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum dan selepas kemelut, dalam mesyuarat majlis tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) pada 16 Mei.
“Mesyuarat MT PN seterusnya mengambil maklum penjelasan yang telah dibuat oleh Bersatu tanpa ada sebarang bantahan,” katanya dalam suatu penjelasan, menjawab kenyataan Presiden PAS Hadi Awang pada 22 Mei lalu.
Terdahulu hari ini, media melaporkan PAS sedang bermesyuarat bagi membincangkan isu berkaitan PN termasuk masa depan bersama Bersatu.
Mesyuarat itu berlatarkan amaran Hadi kepada Bersatu bahawa kesabaran ‘ada batas’ setelah PAS “mengkaji satu persatu tindakan Bersatu”, mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan, antara lain.
Dalam isu di Negeri Sembilan, Adun Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu) dan Ridzuan Ahmad (Gemas) mengubah pendirian membentuk kerjasama dengan Umno yang telah menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.
Hari ini, biro politik Bersatu berkata Azmin dan Takiyuddin bekerjasama rapat dari awal untuk menguruskan krisis tersebut.
“Tuduhan bahawa Bersatu mengambil tindakan secara bersendirian dalam menangani krisis politik di Negeri Sembilan adalah tidak benar sama-sekali,” katanya.
Menurutnya, Bersatu dan PAS bersetuju dua Adun Bersatu dan tiga Adun PAS bekerjasama dengan 14 Adun Umno untuk “menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri”, namun Umno kemudian mengambil ketetapan wakil rakyatnya kekal bersama kerajaan perpaduan.
“Mengambil kira Umno kekal mendukung kerajaan PH di Negeri Sembilan, maka tindakan Adun PN kekal bekerjasama dengan Adun Umno tidak lagi sesuai,” katanya.
“Malah ini akan memberikan gambaran salah bahawa PN bersetuju dengan tindakan Umno mendukung kerajaan PH di Negeri Sembilan.”
Pada 29 April, Azmin menghubungi Takiyuddin lalu mencadangkan supaya PN menarik diri daripada memberikan sokongan kepada 14 Adun Umno, namun “tiada jawapan diterima daripada setiausaha agung PAS”.
Keesokannya, Azmin menghubungi Takiyuddin meminta untuk berjumpa dan berbincang tetapi “tiada maklum balas diberikan”.
“Dari 28 April sehingga 5 Mei, PAS gagal untuk memberikan sebarang maklum balas kepada cadangan Bersatu untuk menarik sokongan setelah Umno kembali menyokong kerajaan PH di Negeri Sembilan.
“Asas pendirian Bersatu adalah jelas dan konsisten bahawa sebarang kerjasama dengan Umno boleh diadakan dengan syarat parti itu memutuskan hubungan dengan PH,” katanya.
Tak perlu pertikai tukar MB Perlis
Mengenai pertukaran menteri besar Perlis tahun lalu, biro politik Bersatu berpendirian perkara itu “tidak perlu dipertikaikan lagi” kerana pelantikan menteri besar adalah kuasa budi bicara Raja Perlis.
Biro politik Bersatu menerangkan Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail menitahkan Bersatu dan PAS mengemukakan nama calon menteri besar untuk dipertimbangkan, selepas baginda beri ruang secukupnya kepada PAS untuk menyelesaikan kemelut politik dengan baik.
“Bersatu menjunjung titah Tuanku dan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Tuanku sama ada untuk melantik seorang menteri besar dari Bersatu atau PAS mengikut lunas Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
“Jadi, tuduhan bahawa Bersatu khianat adalah melampau kerana apa yang dilakukan oleh Bersatu dalam menjunjung titah Tuanku Raja Perlis adalah teratur dan beradab,” katanya.
Menurut Bersatu, tuduhan wakil rakyatnya menarik sokongan kepada menteri besar dari PAS “juga tidak benar”.
“Mereka hanya menyerahkan kepada kebijaksanaan Tuanku Raja Perlis untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri tersebut mengikut kuasa budi bicara baginda,” katanya.