Peguam saran mangsa gangguan seksual ‘online’ simpan bukti digital

Peguam saran mangsa gangguan seksual ‘online’ simpan bukti digital

Mangsa juga perlu utamakan keselamatan diri sebelum menyimpan bukti seperti tangkap layar, perbualan WhatsApp, e-mel, atau rakaman suara.

scam
Kepesatan penggunaan media sosial, aplikasi pemesejan dan platform digital lain mewujudkan saluran baharu bagi gangguan seksual merangkumi mesej berbaur lucah, intai siber, imej eksplisit tanpa diminta serta ugutan seksual.
PETALING JAYA:
Mangsa gangguan seksual dalam talian disaran menyimpan bukti digital kerana bahan penting itu boleh dipadam atau diubah dengan mudah.

Bekas pengerusi Majlis Peguam Selangor, Kokila Vaani Vadiveloo, berkata kepesatan penggunaan media sosial, aplikasi pemesejan dan platform digital lain mewujudkan saluran baharu bagi gangguan seksual, merangkumi mesej berbaur lucah, intai siber, imej eksplisit tanpa diminta serta ugutan seksual.

“Semakin cepat bukti disimpan, semakin kuat kedudukan dari segi undang-undang kerana bahan digital boleh dipadam atau diubah dengan mudah,” katanya menurut Bernama.

Peguam itu berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program bual bicara Bernama TV ‘Paarvai’, bertajuk Sexual Harassment: Courage to Break the Silence, yang akan disiarkan 7.30 malam ini.

Kokila berkata, mangsa juga perlu mengutamakan keselamatan diri sebelum menyimpan bukti seperti tangkap layar, perbualan WhatsApp, e-mel, rakaman suara, rakaman CCTV, gambar dan butiran saksi, serta bukti elektronik boleh diterima di mahkamah jika dapat membuktikan ketulenannya.

Katanya, Akta Antigangguan Seksual 2022 mentakrifkan gangguan seksual sebagai sebarang perlakuan tidak diingini berbentuk seksual, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, malah undang-undang juga semakin mengiktiraf gangguan boleh berlaku dalam ruang digital.

“Gangguan dalam talian sememangnya diiktiraf di bawah undang-undang Malaysia. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh diguna pakai bagi komunikasi lucah, menghina, mengancam atau gangguan yang dibuat melalui media sosial, WhatsApp, e-mel atau platform dalam talian,” katanya.

Menurutnya, mangsa tidak perlu bimbang untuk tampil membuat laporan walaupun tanpa bukti langsung, kerana mahkamah boleh mempertimbangkan keterangan saksi, keadaan sekeliling, pola tingkah laku serta konsistensi kenyataan dalam menilai sesuatu kes.

Gangguan dalam talian boleh memberikan kesan psikologi yang sama berat dengan gangguan fizikal, kerana kandungan berbahaya boleh tersebar dengan pantas dan kekal dalam talian, sekali gus mendedahkan mangsa kepada trauma emosi, reputasi terjejas serta ancaman terhadap keselamatan diri.

Mangsa boleh membuat laporan polis jika melibatkan perlakuan jenayah, manakala aduan berkaitan tempat kerja juga boleh dibuat kepada majikan, Jabatan Tenaga Kerja atau Tribunal Antigangguan Seksual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.