
Timbalan Ketua Polis Kulim, Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng, berkata ibu pemain itu dimaklumkan jurulatih ragbi bahawa anaknya rebah dan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan kira-kira 5.30 petang semalam.
Menurutnya, Muhammad Adam Putra Syahril, 21, yang tidak memberikan sebarang respons selepas diberikan bantuan awal, dibawa ambulans ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.
“Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan pemuda itu sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
“Siasatan mendapati beliau tidak mempunyai sejarah penyakit sebelum ini dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah kes diklasifikasikan mati mengejut.
Beliau berkata, mangsa menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Arau, Perlis dan sedang menjalani latihan amali di Kulim.