PKR Johor tak terheret ‘politik dendam’, polemik tak membina, kata Zaliha

PKR Johor tak terheret ‘politik dendam’, polemik tak membina, kata Zaliha

Ketua PKR Johor berkata keputusan ahli meninggalkan PKR tidak patut disertai tuduhan melulu yang boleh mengelirukan ahli parti dan rakyat.

ZALIHA_MUSTAFA
Ketua PKR Johor Dr Zaliha Mustafa berkata kematangan politik menuntut sebarang rasa tidak puas hati diurus melalui saluran betul, bukannya dengan memilih pentas media untuk melemparkan persepsi.
PETALING JAYA:
PKR Johor tidak akan terheret dalam ‘politik dendam’ atau polemik tidak membina, kata Ketuanya, Dr Zaliha Mustafa selepas beberapa bekas pemimpin dan ahlinya meninggalkan parti untuk membawa haluan politik baharu.

Beliau berkata, keputusan ahli meninggalkan PKR tidak patut disertai tuduhan melulu yang boleh mengelirukan ahli parti dan rakyat.

“Sebagai sebuah parti yang melalui proses demokrasi terbuka, sudah tentu akan wujud perbezaan pandangan, persaingan dan juga kekecewaan.

“Namun, kematangan politik menuntut sebarang rasa tidak puas hati diurus melalui saluran betul, bukannya dengan memilih pentas media untuk melemparkan persepsi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, beberapa bekas pimpinan PKR Johor dilapor menubuhkan jawatankuasa sementara Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Pengerusi Jawatankuasa Sementara Bersama Johor, Abdul Hamid Ali dilaporkan berkata, mereka meninggalkan PKR kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan dan proses pemilihan parti.

Zaliha turut menolak dakwaan ribuan ahli PKR akan keluar parti untuk bersama kumpulan terbabit.

Tegasnya, PKR tidak berpolitik dengan angka dicanang untuk mencipta persepsi, sebaliknya berpegang kepada fakta, kerja lapangan dan kekuatan sebenar di akar umbi.

Jelasnya, rakyat cukup matang untuk menilai sama ada tindakan keluar parti benar-benar berasaskan prinsip perjuangan atau sekadar kekecewaan peribadi selepas pemilihan parti.

Beliau berkata, PKR tetap fokus kepada usaha memperkukuh organisasi, merapatkan saf perjuangan dan memastikan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik akan datang.

“Perjuangan ini tidak pernah dibina atas kekuatan individu tertentu, jauh sekali bergantung kepada mereka yang datang dan pergi mengikut musim politik.

“PKR telah melalui cabaran yang jauh lebih besar dan akan terus berdiri kerana kekuatannya terletak pada prinsip, bukan personaliti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.