Tengku Zafrul calon berpotensi PH di Pandan, Ampang

Tengku Zafrul calon berpotensi PH di Pandan, Ampang

Penganalisis berkata pelantikan Tengku Zafrul Aziz sebagai pegawai pemantau Parlimen itu dilihat strategi PKR dan PH menjelang PRU16.

Tengku Zafrul Aziz bernama pic 24526
Penganalisis berkata tanggungjawab pegawai pemantau memberi peluang kepada Tengku Zafrul Aziz mendekati pengundi dan memperkenalkan diri lebih awal kepada akar umbi sebelum pilihan raya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelantikan penasihat kanan politik kepada perdana menteri Tengku Zafrul Aziz sebagai pegawai pemantau Parlimen Pandan dan Ampang dilihat sebagai langkah strategik PKR dan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU16, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, Tengku Zafrul adalah calon berpotensi untuk diketengahkan di salah satu kerusi itu kerana memiliki ciri yang sesuai dengan demografi pengundi bandar.

Mazlan Ali
Mazlan Ali.

Katanya, pengundi di Pandan dan Ampang lebih terpengaruh dengan isu ekonomi, selain melihat imej profesional dan teknokrat sebagai faktor penting dalam pemilihan calon.

“Ciri-ciri yang ada pada Tengku Zafrul amat sesuai bagi demografi Ampang dan Pandan yang terdiri kumpulan bandar dan sangat terpengaruh dengan isu berkait ekonomi,” katanya kepada FMT.

Semalam, Naib Presiden PKR Amirudin Shari mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul seiring langkah parti menjadikan Parlimen Pandan kawasan angkat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga presiden parti.

Penyusunan semula pengurusan parti di kawasan itu menyusuli peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai wakil rakyat Pandan dan Setiawangsa. Mereka mengambil alih Parti Bersama Malaysia, dan meninggalkan PKR baru-baru ini.

Mazlan berkata, pengalaman Tengku Zafrul sebagai tokoh korporat dan pernah menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) turut memberi kelebihan kepadanya.

Katanya, peranan Tengku Zafrul sebagai penasihat kanan politik kepada perdana menteri juga selari karakter beliau serta sesuai untuk menjaga dua kawasan dianggap kubu kuat PH.

Beliau turut berpandangan, pelantikan itu dapat memastikan kesinambungan khidmat kerajaan di Pandan susulan peletakan jawatan wakil rakyat kawasan terbabit.

Menurutnya, langkah itu juga dilihat sebagai strategi PKR untuk mengekang pengaruh bekas Ahli Parlimen Pandan iaitu Rafizi di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara senada  kemungkinan besar Tengku Zafrul menjadi calon PH di salah satu kerusi berkenaan.

Katanya, komposisi pengundi bercampur di Pandan dan Ampang sesuai dengan aura profesional serta teknokrat dibawa Tengku Zafrul.

Azmi berkata, tanggungjawab sebagai pegawai pemantau memberi peluang kepada Tengku Zafrul mendekati pengundi dan memperkenalkan dirinya lebih awal kepada akar umbi sebelum pilihan raya.

“PKR dan PH memerlukan tokoh yang mampu menandingi pengaruh Rafizi di Pandan, terutama dari sudut imej profesional dan pendekatan berasaskan fakta serta data,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.