Umno perlu terima realiti jadi pelengkap di Sabah, kata bekas KM

Umno perlu terima realiti jadi pelengkap di Sabah, kata bekas KM

Salleh Said Keruak berkata Umno tidak lagi memainkan peranan dominan sebaliknya menjadi pelengkap yang menyokong kerajaan negeri.

Salleh Said Keruak
Bekas ketua menteri Salleh Said Keruak berkata kini Bumiputera Sabah berpecah kepada beberapa blok politik dan Umno bukan lagi wadah tunggal penyatuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Masa depan Umno di Sabah bergantung kepada penerimaan realiti sebagai pelengkap yang menyokong kerajaan negeri diterajui gabungan parti tempatan, kata bekas ketua menteri, Salleh Said Keruak.

Salleh berkata, Umno memasuki Sabah pada 1991 atas jemputan Allahyarham Mustapha Harun, yang ketika itu presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) bagi menyatukan sokongan Bumiputera Islam dan seterusnya memainkan peranan dominan dalam politik negeri.

Katanya, kini realitinya Bumiputera berpecah kepada beberapa blok politik, dan Umno bukan lagi wadah tunggal penyatuan.

“Umno Sabah tidak lagi memainkan peranan dominan sebaliknya menjadi pelengkap yang menyokong kerajaan negeri diterajui serta ditunjangi oleh gabungan parti tempatan.

“Masa depan Umno bergantung kepada penerimaan realiti ini serta kerjasama strategik bagi memperkukuh perpaduan, pembangunan Sabah dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” kata bendahari Umno Sabah itu dalam kenyataan.

Sebelum ini, Salleh berkata Umno perlu menilai semula peranannya di Sabah, menegaskan parti itu mesti melihat ke hadapan dan membuat keputusan berdasarkan realiti politik semasa.

Pada pilihan raya 29 Nov tahun lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan memperoleh jumlah kerusi terbesar, manakala Barisan Nasional hanya menang enam DUN. PKR pula hilang dua kerusi tradisinya manakala DAP gagal memenangi sebarang kerusi.

Pilihan raya itu menyaksikan DUN tergantung apabila tiada gabungan memperoleh majoriti mudah 37 kerusi. GRS muncul sebagai blok dominan dan mengetuai rundingan pasca pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.