GSF 2.0: 28 aktivis Malaysia selamat pulang

GSF 2.0: 28 aktivis Malaysia selamat pulang

Mereka mendarat di Terminal 1 KLIA pada 9.30 malam tadi, disambut laungan 'Free Palestine' dan takbir.

Air mata dan pelukan ahli keluarga mengiringi detik kepulangan 28 rakyat Malaysia yang selamat pulang. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Seramai 28 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza selamat tiba di tanah air malam tadi.

Mereka bersama Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turki pada 2.21 pagi semalam waktu tempatan sebelum transit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mereka meneruskan perjalanan pulang dengan penerbangan Emirates EK342 yang mendarat di Terminal 1 KLIA pada 9.30 malam.

Ketibaan disambut Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, yang juga menteri penaung Misi Global Sumud Flotila, serta lebih 100 ahli keluarga aktivis dan pendukung Palestin.

Suasana di balai ketibaan dipenuhi laungan ‘Free Palestine’ dan takbir, sambil para penyokong mengibarkan bendera Palestin.

Tangisan kegembiraan, air mata kesyukuran dan pelukan erat antara ahli keluarga serta rakan seperjuangan turut mengiringi detik ini.

Antara sukarelawan yang menyertai misi itu ialah Norazman Ishak, Muhammad Hareez Adzrami, Nor Liyana Farhan Daud, Zainal Rashid Ahmad, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Hazwan Hazim Dermawan, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Hanafi Mohd Salim dan Mohd Shamsir Mohd Isa.

Turut serta Mohd Redzal Amzah, Muhammad Zaid Abdul Karim, Al-Ahmad Shah Abdul Kadir, Mohammad Farizzal Rostam, Chin Shiau Weai, Abdul Samad Selamat, Mohammad Shazly Mohammad Shees, Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari, Syed Aminul Syafiq Syed Iskandar dan Osman Zulkifli.

Peserta lain ialah Jihan Alya Mohd Nordin, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar, S. Patmanathan, Syakirin Muhamad Senin, Muhammad Muhsin Zaidi, Abdul Rahim Abdul Razak, Eddy Noor Mat Amin, Noor Thanisah Mohamad Tajudin dan Naufa Azhar.

Sementara itu, seorang lagi aktivis Razman Mat Ali masih berada di Istanbul bagi menerima rawatan selepas mengalami ‘Traumatic Pneumothorax’ atau paru-paru bocor akibat ditumbuk tentera Israel.

Sebelum ini, SNCC mengesahkan semua 50 kapal misi GSF 2.0 yang membawa 430 aktivis kemanusiaan termasuk 29 rakyat Malaysia dipintas tentera Israel berhampiran perairan Cyprus pada 18 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.