Saya penyokong tegar BN, kata Jurey

jurey-bn

KUALA LUMPUR: Salah faham adalah antara punca Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM), Datuk Jurey Latiff Rosli dilabelkan sebagai penyokong pembangkang.

Menjelaskan perkara berkenaan, Jurey memberitahu beliau tidak pernah menyokong pembangkang, sebaliknya merupakan penyokong nombor satu Barisan Nasional (BN).

“Saya dihentam teruk seolah-olah kelihatan macam pembangkang, saya tak pernah sokong pembangkang.

“Saya adalah penyokong kuat kerajaan Barisan Nasional. Saya Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia yang merupakan ahli gabungan Barisan Nasional nombor satu,” ujarnya dalam sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), hari ini.

Pada masa sama, Jurey turut menafikan beliau berhasrat menjatuhkan Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman melalui surat rasmi yang dihantar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

“Saya dihentam teruk kerana hendak menjatuhkan Datuk Kamil tetapi sebenarnya tidak, hubungan kami sangat baik.

“Sebab itu saya suarakan mengenai isu-isu industri yang melihat FINAS adalah agensi terbaik untuk membantu kerana ia berada di bawah kerajaan dan kami NGO hanya boleh bersuara,” katanya lagi.

Sebenarnya, beliau berkata, surat itu yang dihantar kepada Salleh bertujuan memperjuangkan nasib anak-anak seni dan kru produksi yang sehingga kini belum selesai.

“Nombor satu yang saya suarakan adalah Akta Kandungan Kreatif, jadi kami harap dengan akta ini akan menyelesaikam masalah-masalah seperti gaji yang kurang.

“Kehidupan di luar sana masih teruk kerana gaji yang teruk, jadi saya harap dalam pertemuan kali ini saya ikhlas dan berikrar untuk terus menyokong Datuk Kamil sebagai Ketua Pengarah FINAS. Saya tidak ada niat lain selain ingin melihat industri ini berkembang dan maju,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, Kamil berkata, beliau bersedia mengadakan perbincangan dengan pihak persatuan dan akan menerima semua bentuk aduan.

Namun, sebagai penjawat awam, beliau hanya boleh mengusulkan kepada menteri dan keputusan terletak di tangan menteri.