Tiada bangsa lain – Ali Tinju sasar sejuta peserta ‘Aku Melayu’

ali-tinju-melakaPETALING JAYA: Presiden Gerakan Merah Mohd Ali Baharom hari ini menyasarkan sejuta orang memakai baju tertulis “Aku Melayu” untuk berhimpun membantah perhimpunan yang bakal dianjurkan Bersih.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ali Tinju berkata demikian selepas rancangan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos, mahu menghimpunkan 50,000 orang berbilang bangsa menyertai perhimpunan baju merah.

“Gerakan merah kita ini adalah Melayu. Kita akan berada berasingan daripada Datuk Jamal,” katanya kepada FMT.

“Saya dengar Datuk Jamal berbilang bangsa. Dia akan bawa (kira-kira) 40% Cina bersama dengan beliau. Jika dia boleh membuktikan, ia satu gerak kerja yang terbaiklah. Saya puji Datuk Jamal. Tapi dia kena membuktikan yang berbilang kaum, Cina itu akan turun bersama beliau.”

Semalam, Jamal mengumumkan 50,000 baju sudah dicetak menjelang perhimpunan Bersih bagi memberi tekanan kepada kerajaan menyiasat salah laku 1MDB, susulan pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang mendakwa salah laku dan kecurian sebanyak AS$3 bilion daripada syarikat milik negara.

Bersih 2.0 masih belum mengumumkan tarikh perhimpunan Bersih, perhimpunan ke-5 dianjurkan pertubuhan itu.

Ali yakin boleh mencapai sasaran sejuta orang penyokong berdasarkan kunjungan ke beberapa negeri.

Beliau sebelum ini menawarkan 5,000 belia melakukan “kerja amal”, dengan memakai baju merah menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, usaha itu mendapat sambutan hangat, dan calon akan ditemuduga mulai Oktober ini.

“Bulan 11 kita nak buat kerja amal kawasan Sepang, Bandar Tun Razak. Kita latih mereka dahulu, selepas itu kita gerakkan mereka ini ke lokasi yang ditetapkan. Kita bukan membawa budak-budak ini ke jalan-jalan yang tak baik.”

Belia hanya perlu memakai baju yang tertulis “Mempertahankan kerajaan, pemerintah dan negara” pada program keramaian menampilkan pemimpin kerajaan. Tawaran kerja itu terbuka kepada belia berumur 21 tahun ke atas di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Pautan:

Selepas Ali Tinju tawar kerja amal, Jamal umum cetak 50,000 baju