91% hasil pelabuhan di Pakistan disalurkan kepada China

Pelabuhan-GwadarPETALING JAYA: China bakal menerima 91% hasil daripada Pelabuhan Gwadar di Pakistan, kata Menteri Pelabuhan dan Perkapalan negara itu, Hasil Bizenjo.

Selebihnya akan disalurkan kepada pihak berkuasa pelabuhan, menurut akhbar harian Dawn.

Sebelum itu, beberapa ahli Majlis Senat Pakistan menyuarakan kebimbangan atas kerahsiaan menyelubungi rancangan perjanjian jangka panjang Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), di mana ramai menganggap ia hanya menguntungkan China.

Bagaimanapun, senator kerajaan mempertahankan perjanjian itu dengan berkata ia memberi banyak faedah kepada Pakistan. Beliau memberi contoh projek jana kuasa di bawah CPEC yang kebanyakannya akan dibina di wilayah Balochistan dan Sindh, akan mengurangkan krisis tenaga yang serius di Pakistan.

Sabtu lalu, Sri Lanka menyerahkan sebuah pelabuhan kepada sebuah syarikat China melalui satu perjanjian untuk meningkatkan kewangan negara itu yang mencetuskan kebimbangan di dalam dan luar negara berhubung peningkatan pengaruh Beijing.

Perjanjian bernilai AS$1.12 bilion yang julung kali diumumkan Julai lalu, membolehkan sebuah syarikat milik China mengambil alih Pelabuhan Hambantota di selatan negara itu yang merentangi laluan perkapalan timur-barat tersibuk di dunia, melalui pajakan 99 tahun.