Ganti tanah Melayu yang diambil, kata Undang

UndangREMBAU: Undang Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman mahu Tanah Simpanan Melayu dan tanah adat yang akan diambil untuk projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR), diganti dengan tanah juga.

Katanya, Tanah Simpanan Melayu dan tanah adat adalah hak orang Melayu negeri berkenaan yang perlu dipertahankan, meskipun beliau membenarkan projek itu dilaksanakan di jajahannya.

“Keluasan tanah adat dan Tanah Simpanan Melayu sudah semakin mengecil akibat pembangunan di Rembau dan ada yang masih tidak diganti, sebaliknya hanya dibayar pampasan sahaja.

“Sekiranya HSR ini dilaksanakan dan kemudian menyebabkan ada Tanah Simpanan Melayu atau tanah adat diambil, kena gantilah,” katanya dalam temuramah eksklusif bersama FMT di sini, baru-baru ini.

Baru baru ini, dalam ucapan pengubahsuaian Bajet 2016, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan projek utama Aliran Transit Ringan 3 (LRT3), Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) dan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR), akan diteruskan.

Jajaran laluan HSR sepanjang lebih 300 km antara Singapura dan Kuala Lumpur dicadangkan membabitkan dua perkhidmatan iaitu perkhidmatan terus ke Singapura dan satu lagi, perkhidmatan transit antara bandar iaitu Bandar Malaysia, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya, dan menyeberangi tambak ke Singapura.

Bagaimanapun, perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan dan jajaran itu akan hanya dimuktamadkan selepas kajian terperinci ke atas aspek kejuruteraan, selesai.

Mengulas lanjut, Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan itu berkata, selain mengganti tanah gazet milik Melayu yang diambil akibat projek HSR, pampasan setimpal juga perlu dibayar kepada pemiliknya.

Katanya, beliau bersama pembesar adat di Rembau tidak menghalang pembangunan yang dirancang, namun mengingatkan supaya pampasan perlu bersesuaian dengan kos yang terpaksa ditanggung pemilik tanah.

Undang Muhamad Sharip berkata, kerajaan negeri lazimnya akan mengganti mana-mana Tanah Simpanan Melayu yang diambil alih untuk tujuan pembangunan atau penukaran status pewartaan.

Katanya, beliau akan memastikan pemilikan yang digazet untuk orang Melayu diganti dan menjalankan tugas sekat dan imbang ke atas kerajaan negeri berhubung isu Tanah Simpanan Melayu dan tanah adat.