Di tengah herdikan ‘sesat’, komuniti Ahmadiah meneruskan kehidupan

QaidaniKUALA LUMPUR: Bangunan tiga tingkat berwarna biru di Kampung Nakhoda, Batu Caves, dikelilingi papan tanda “Qadiani bukan agama Islam”, merujuk salah satu aliran Islam yang berasal dari benua kecil India.

Slogan “sesat” mengelilingi bangunan itu memberi peringatan betapa komuniti yang juga dikenali sebagai “Ahmadiah” ini disisihkan dan dilabel sesat oleh masyarakat Islam arus perdana.

Justeru, seperti pelbagai aliran lain yang dianggap sesat, pengikut Ahmadiah di Malaysia mengamalkan aktiviti mereka secara sembunyi.

Pusat kominiti ini yang dinamakan “Baitusalam” sudah tertubuh sejak tahun 1950-an.

Ia sudah mula bersebati dengan kehidupan seharian masyarakat Kampung Nakhoda, dan insiden gangguan semakin berkurangan.

“Alhamdulillah, hubungan dengan penduduk di sini tiada masalah. Kami hidup berjiran, mereka sudah lama boleh terima kami. Kalau 15 tahun dulu, kami undang ke majlis walimah pun mereka tidak datang,” kata pemimpin komuniti Ahmadiah Malaysia, Ainul Yaqeen Sahib.

Antara faktor yang menyumbang kepada perubahan sikap itu adalah penglibatan Baitussalam dalam program kemasyarakatan, termasuk kempen derma darah bersama Pusat Darah Negara.

“Kami juga terlibat dalam program di rumah gelendangan di Jalan Pahang pada setiap bulan. Kita hebahkan program ini agar orang ramai tahu dan mengikis apa-apa gambaran negatif terhadap kami,” katanya lagi.

Namun tidaklah bermakna Baitussalam sepi daripada sebarang gangguan.

Mereka berterima kasih kepada polis yang sering menjaga keselamatan di sana.

“Disebabkan sering berlaku kekacauan dulu, saya rasa Baitussalam sudah termasuk dalam senarai tempat yang perlu dipantau polis,” katanya separuh berjenaka.

Asal usul Ahmadiah

Bagi kebanyakan masyarakat, terutama generasi muda, pengenalan pertama mereka dengan aliran ini (dan wajah Mirza Ghulam Ahmad) barangkali melalui buku teks Pengajian Agama Islam, di mana Ahmadiah disenaraikan sebagai aliran yang menyimpang daripada Islam.

Ahmadiah, atau juga dikenali sebagai Qadiani, diasaskan Mirza Ghulam Ahmad pada tahun 1889 di Qadian, India.

Apa yang memisahkan Ahmadiah dengan aliran Islam lain adalah pegangan mereka bahawa pengasasnya Ghulam Ahmad merupakan Imam Mahdi dan juga Isa al-Masih.

Pada 1975, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia menetapkan penganut Ahmadiah sebagai terkeluar daripada Islam dan dipersetujui mesyuarat Majlis Raja-raja ke-101 pada tahun sama.

Aliran ini juga menerima layanan yang sama di kebanyakan negara majoriti Muslim yang lain.

Justeru kita tidak lekang mendengar insiden keganasan yang biasanya membawa kepada kematian ke atas pengikut Ahmadiah oleh orang Islam yang lain.

Pada 6 Februari 2011, 1,500 orang mengepung kawasan Ahmadiah di Cikeusik, Banten, Indonesia dan memukul sehingga mati tiga pengikut dan mencederakan lima yang lain, dalam kejadian yang dirakam dan tersebar di YouTube.

Ainul bimbang kalau-kalau hal sama berlaku di Malaysia, ekoran provokasi agamawan yang baginya merupakan golongan diangkat terlalu tinggi dan jarang dipersoalkan di negara ini.

Dibaling najis

Sepanjang wawancara, Ainul menuturkan kata-kata dengan teratur dan perlahan. Raut wajahnya kelihatan tenang, walaupun banyak kepayahan yang dilalui selaku penganut aliran yang terpinggir dalam Islam arus perdana. Atau boleh jadi itulah sebabnya.

Beliau yang merupakan generasi kedua penganut Ahmadiah dalam keluarganya mengimbas kembali kegetiran hidup mereka akibat pilihan tersebut.

“Bapa saya menjual nasi lemak di Jalan Melaka di Masjid Jamek. Banyak tentangan yang kami hadapi ketika itu, termasuk rumah kami dibaling dengan tong-tong najis. Namun kami hadapinya dan kini, sudah empat generasi pengikut Ahmadiah dalam keluarga kami,” katanya.

Qadiani bukan agama Islam

Agaknya, apakah yang dirasakan anak Ahmadiah saban hari melihat papan tanda “Qadiani bukan ajaran Islam”?

Bukankah itu satu seksaan mental bagi mereka?

“Itulah yang jabatan agama mahukan, agar fikiran mereka dirosakkan. Anak-anak ini datang bertanya dan kita bagi penerangan. Kami juga mengadakan kelas agama mingguan untuk anak-anak Ahmadiah.

“Alhamdulillah ia menjadikan mereka lebih memahami perbezaan Ahmadiah dengan aliran Islam yang lain,” katanya yang memaklumkan ada sembilan papan tanda di sekitar Baitussalam.

Seperti aliran dilabel “sesat” yang lain, mereka juga tidak sepi daripada ditangkap dan turun naik Mahkamah Syariah. Pada masa ini, mereka berhadapan satu kes di Mahkamah Syariah kerana menunaikan solat Jumaat secara berasingan.

Bagi Ainul, tindakan itu sesuatu yang bercanggah dengan pendirian pihak berkuasa agama yang berkeras Ahmadiah terkeluar daripada Islam.

“Mereka kata kami bukan Islam, maka sepatutnya tidak perlu tertakluk dengan mereka. Tetapi menghairankan apabila mereka sentiasa ikut di belakang kami. Mereka tidak berkuasa ke atas orang bukan Islam. Maka adakah dengan menangkap kami mereka mahu isytihar kami memang aliran dalam Islam? Jika begitu, batalkan fatwa 1975.

“Ini sebenarnya melucukan. Pihak berkuasa agama akhirnya terperangkap antara fatwa dan tindakan mereka,” katanya lagi.

Tanya orang Ahmadiah sendiri

Walaupun dengan karenah pentadbir agama, Ainul meluahkan rasa gembira kerana semakin ramai yang bersikap terbuka, malah secara terus-terang ingin melihat sendiri amalan Islam penganut Ahmadiah.

Sejak lima tahun lalu, beliau berkata Baitussalam sering dikunjungi pelajar universiti yang sama ada membuat kajian, atau hanya melihat dan mengenal sendiri aliran itu.

“Mereka nak tengok betulkah kami sembah matahari, sembahyang campur lelaki dengan perempuan. Dan dengan datang sendiri, mereka tahu ia hanya fitnah. Ramai yang berpendidikan sudah tidak menerima kata-kata pejabat agama bulat-bulat.

“Untuk mengenali aliran ini, anda perlu tanya dan baca daripada pengikutnya sendiri. Bukan melalui golongan agamawan yang memang membenci Ahmadiah.

“Jika begitu, mana mungkin anda akan ketemu dengan hal-hal yang positif?”