
Beliau meluahkan rasa kecewa kerana Dr Mahathir kini berpaling tadah daripada parti yang sekian lama dipimpinnya.
“Beliau yang kita sanjung kini tergamak terlibat dalam perbuatan keji dan bersubahat dengan DAP, Bersih, Amanah dan PKR. Dan lebih teruk, bersekongkol dengan musuh seperti Soros yang pernah disuruh kita benci sebagai penyangak mata wang,” kata Najib yang merujuk hartawan Amerika Syarikat George Soros, yang dituduh memberikan dana menjatuhkan pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Sayang seribu kali sayang. Hakikatnya, inilah dia satu bentuk kemuncak penderhakaan pada Umno, bangsa dan tanah airnya,” katanya dalam ucapan dasar presiden hari ini.
Dr Mahathir turut menjadi sasaran ucapan ketua Pemuda dan Wanita Umno semalam.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memetik sajak “Melayu Mudah Lupa” karangan bekas perdana menteri itu, sementara Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil menyifatkan Dr Mahathir “bercium mulut” dengan pemimpin DAP Lim Kit Siang sebagai “hari paling gelap” buat dirinya.
Najib berkata tindakan Dr Mahathir bertentangan dengan sikapnya yang sentiasa berada di belakang presiden di saat parti Melayu itu berhadapan krisis.
Beliau membangkitkan episod pertembungan Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987, pengharaman Umno setahun kemudian dan krisis kewangan pada 1997-1998.
“Hinggakan YB Mulia Tengku Razaleigh ketika itu berkecil hati dengan saya. Saya lakukan itu semata-mata berpegang atas prinsip wala’ kepada presiden, walaupun secara peribadinya sangat akrab dengan Tengku Razaleigh,” kata Najib menggunakan istilah Arab untuk setia, menyorot kembali krisis Umno 1988.
“Siapa pada saat mendebarkan tersebut, yang berdiri teguh menyokong Dr Mahathir, sehingga Umno baharu secara sah diterima semula?
“Siapa lagi, siapa lagi, kalau bukan kita, orang-orang Umno,” katanya disambut sorakan hampir 3,000 perwakilan.
Beliau menyatakan penghargaan berhubung wala’ yang diberikan Umno kepadanya sebagai presiden, dan menyeru prinsip kesetiaan diteruskan kepada kepimpinan masa hadapan.
“Pastinya, wala’ dan kesetiaan sepenuhnya juga wajib diterima oleh sesiapa pun kelak yang akan berada di puncak dan mengambil alih jawatan Presiden dan Perdana Menteri,” katanya lagi.