Jamal Yunos: Saya pun ada kalung berlian disebut DoJ

Jamal-cincinKUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamal Yunos meneruskan gimik protesnya lagi, kali ini dengan membawa kalung “berlian” dan cincin, dalam cubaan mempersenda pembangkang kerana mempercayai dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengatakan wang dicuri dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan untuk membeli barang kemas bernilai jutaan ringgit.

Jamal yang terkenal dengan gimik politik menakjubkan berkata beliau juga ada memiliki barang kemas bernilai jutaan ringgit.

Oleh kerana itu, pembangkang tidak sepatutnya mudah mempercayai dakwaan DoJ mengatkan dana 1MDB digunakan untuk membeli berlian merah jambu 22 karat dan rantai, bernilai AS$27.3 juta (RM116 juta), untuk isteri “Malaysian Official 1” (MO1).

“Jika DoJ mahu cari saya, ini adalah peluang untuk saya ke Amerika Syarikat,” katanya ¬†pada sidang media hari ini.

Sambil mengangkat seutas kalung dan sebutir cincin, Jamal mendakwa barangan kemas yang dipegangnya bernilai RM120 juta dan beliau mahu melelongnya tidak lama lagi.

DoJ memfailkan saman sivil di mahkamah AS Jumaat lepas dalam usaha mendapatkan semula AS$540 juta (RM2.3 bilion) aset yang dipercayai dibeli dengan wang dicuri dari 1MDB.

Tindakan itu cubaan terbaru kerajaan AS untuk menyita aset yang dikaitkan dengan 1MDB, menjadikan nilai keseluruhan yang dikehendaki DoJ AS$1.8 bilion.

Jamal mendakwa dakwaan DoJ itu menyasarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Kami membantah sekeras-kerasnya politik pembangkang ini. Ini adalah cara untuknya rosakkan negara dan runtuhkan akhlak rakyat Malaysia.

“Mereka ini fitnah Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor kononnya beli barangan keperluan peribadi menggunakan sejumlah wang.

“Sehingga kini, tidak ada bukti yang ditunjukkan oleh DoJ, selain beberapa dokumen ditunjukkan pengikut Dr Mahathir,” katanya merujuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Laporan DoJ itu bagaimanapun tidak menamakan Rosmah mahupun Najib, atau memohon persetujuan mahkamah untuk menyita barang kemas itu.

Peguam Rosmah minggu lalu memberi amaran mereka memantau tuduhan tidak berasas terhadapnya di “media sosial dan penerbitan pelbagai bentuk”.