Arifin nasihat Agong sebelum bersara, kata Azalina

azlina_arifin_600

PETALING JAYA: Putrajaya hari ini mempertahankan pelantikan Tan Sri Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan, dengan berkata ia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan atas nasihat Tun Arifin Zakaria kepada pihak istana sebelum beliau bersara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata nasihat Arifin kepada Yang di-Pertuan Agong disampaikan pada 30 Mac, 2017 “ketika beliau masih lagi menyandang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara” dan berdasarkan Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Azalina berkata kritikan pelbagai pihak terhadap lanjutan tempoh jawatan Raus dan Sharif, yang sepatutnya bersara tahun ini, perlu dihentikan “dan membenarkan mereka untuk terus memartabatkan badan kehakiman negara”.

“Saya juga berpendapat kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh mereka amat diperlukan oleh badan kehakiman negara,” katanya.

Pada 7 Julai, Pejabat Perdana Menteri ketika mengesahkan pelantikan itu berkata Raus akan terus memegang jawatan ketua hakim negara untuk 3 tahun lagi mulai 4 Ogos, manakala Zulkefli akan terus berkhidmat sebagai presiden Mahkamah Rayuan untuk 2 tahun lagi mulai 28 September.

Mereka dijadual bersara apabila usia mencecah 66 tahun ini.

Langkah itu diselar Badan Peguam yang akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bulan depan untuk membincangkan perkara itu.

Pelbagai pihak sebelum ini mempersoalkan bagaimana Arifin yang sudah lama bersara boleh terlibat dalam pelantikan itu.

Bekas ketua hakim negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram turut berkata lanjutan perkhidmatan Raus tidak berperlembagaan.

Azalina berkata mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu perlu menghormatinya kerana ia mendapat perkenan Agong.

“Mana-mana pihak yang berpendapat bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan boleh membawa perkara itu ke mahkamah mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Pakatan Harapan akan merayu kepada Agong untuk “mengambil pendirian tegas” terhadap keputusan melanjutkan perkhidmatan Raus dan Zulkefli.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/10/kerajaan-perlu-akui-silap-lantik-raus-lanjutan-jawatan-ketua-hakim-negara/