Rafizi jangka Malaysia bakal rugi RM140 juta projek tren Mekah

rafizi-prasaranaKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan (PKR), Rafizi Ramli hari ini mempersoalkan penglibatan Syarikat Prasarana Malaysia Berhad dalam projek kereta api di Mekah, Arab Saudi, selepas jawapan bertulis menteri kewangan yang menunjukkan syarikat pengangkutan awam itu kerugian hampir RM100 juta setakat ini.

“Dalam keadaan Prasarana sudah alami kerugian saban tahun apabila kos operasinya melebihi kutipan tiket, kenapa ia dibebankan dengan projek kereta api metro di Arab Saudi ini,” soal naib presiden PKR itu dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Rafizi berkata beliau menjangkakan syarikat milik Kementerian Kewangan itu akan mengalami kerugian sebanyak RM142 juta secara keseluruhannya sejak permulaan projek itu pada 2015, sehingga Mei tahun depan.

Prasarana diberi kontrak mengambil alih kerja mengendali dan menyelenggara tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) daripada China Railway Construction Consortium (CRCC).

Nilai keseluruhan kontrak tersebut sepanjang Disember 2014 hingga Mei 2018 adalah RM930 juta.

Menjawab Rafizi di Dewan Rakyat, Najib berkata setakat 30 Jun tahun ini, Prasarana menerima RM580 juta daripada Arab Saudi, tetapi jumlah yang dibelanjakan setakat itu ialah RM679 juta, iaitu kurang RM99 juta.

“Secara keseluruhannya, penglibatan Prasarana dalam projek ini bukan sahaja telah meningkatkan nama Malaysia sebagai peneraju perkhidmatan pengangkutan awam di kalangan negara Islam, malah menunjukkan komitmen kerajaan sebagai sebuah negara Islam untuk meningkatkan syiar Islam menerusi mendukung Rukun Islam Kelima dengan memudahkan masyarakat Islam sedunia dalam mengerjakan haji,” kata Najib dalam jawapan bertulis kepada Rafizi.

Rafizi berkata jangkaannya yang Prasarana bakal kerugian RM142 juta menjelang Mei tahun depan adalah selari dengan kekurangan berjumlah RM99 juta seperti yang dijelaskan Najib.

“Perdana menteri menjual nama kerajaan Arab Saudi kononnya keluarga diraja mendermakan wang sebanyak RM2.6 bilion,” kata Rafizi, merujuk pendedahan Najib menerima wang sebanyak RM2.6 bilion pada 2013.

“Tetapi, hari ini rakyat boleh lihat sebenarnya rakyat Malaysia yang mendermakan wang kepada Arab Saudi,” katanya.