Peserta Bersih diserang gas pemedih mata terima RM28,000

Asrul-Wadi-Ahmad-1

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi ganti rugi RM28,000 terhadap peserta perhimpunan Bersih 3 pada 2012 yang mengalami kecederaan parah di mata kanannya, sehingga buta kerana terkena tembakan gas pemedih mata.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Firuz Jaffril dalam penghakimannya memberikan ganti rugi am berjumlah RM40,000 kepada Asrul Wadi Ahmad, 31, bagaimanapun jumlah itu ditolak 30% atas dasar kecuaian plantif Asrul.

Oleh itu plaintif mendapat ganti rugi berjumlah RM28,000.

“Bagi luka pada mata RM10,000, bagi trauma sekunder pada hidung RM10,000, bagi kehilangan keupayaan mata secara kekal RM20,000,” katanya.

Beliau berkata terdapat keterangan bahawa pihak polis memberikan arahan supaya peserta perhimpunan bersurai dan keterangan menunjukkan planitif tidak menghiraukan amaran tersebut.

“Malah plaintif memilih untuk tidak beredar dari tempat kejadian serta-merta. Oleh yang demikian saya mendapati plaintif sememangnya cuai/menyumbang kepada kecederaan yang dialami beliau,” katanya.

Firuz berkata perlu diingat bahawa kehadiran anggota FRU pada hari kejadian adalah untuk menguatkuasakan perintah Mahkamah Majistret yang menghalang orang awam memasuki Dataran Merdeka.

“Berdasarkan keterangan saksi plaintif terdapat dua hingga tiga orang yang tidak dikenali telah memotong kawad duri yang diletakkan oleh pihak polis bagi menghalang laluan dari Jalan Tun Perak ke Dataran Merdeka.

“Dalam keadaan ini, saya mendapati bahawa arahan untuk melepaskan gas pemedih mata ke arah peserta perhimpunan adalah wajar,” katanya.

Mahkamah juga memerintahkan kelima-lima defendan termasuk polis dan kerajaan Malaysia membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Asrul Wadi.

Pada 16 April 2015, Asrul menfailkan saman terhadap Supt Zahari Mohd Yusoff, ASP Alekzandra Dawam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Polis Diraja Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutannya, Asrul yang merupakan bekas jurutera mendakwa pada 28 April 2012 antara 3 petang hingga 7.30 malam dia bersama ayah dan adiknya menghadiri perhimpunan Bersih.

Ketika itu keadaan di luar Masjid Jamek penuh sesak dengan orang ramai dan tiba-tiba plaintif telah terkena tembakan gas pemedih mata di mukanya dan mengalami kecederaan parah di mata kanannya sehingga kehilangan upaya kekal.