Tangkapan 200 Syiah warga Iraq timbul tanda tanya

jais_iran_b600

PETALING JAYA: Situasi sekitar tangkapan lebih 200 warganegara Iraq dalam serbuan Jabatan Agam Islam Selangor (Jais) ke atas upacara Syiah baru-baru ini menimbulkan tanda tanya, selepas pihak berkuasa enggan menjawab soalan pemberita.

Pengarah Jais Datuk Haris Kasim belum mahu mengulas ketika diminta mengesahkan tangkapan itu.

“Tak boleh komen lagi. Dah jadi kes polis,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini. Ditanya mengapa kes yang dilakukan di bawah enakmen agama negeri itu kini menjadi tanggungjawab polis, beliau menjawab: “Dah kita buat laporan polis.”

Polis ketika dihubungi FMT bagaimanapun berkata mereka tidak tahu menahu berkenaan kes Jais itu.

“Jabatan agama yang tangkap. Jangan tanya polis. Dia pun tak serah kepada kita apa-apa,” kata Ketua Polis Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor turut memberi jawapan yang sama.

“Siasatan dibuat oleh Jais,” katanya ringkas kepada FMT.

Sebelum ini dilaporkan pihak berkuasa melepaskan 200 warganegara Iraq yang ditangkap dalam serbuan Jais selepas mendapat tekanan dari Baghdad.

Penangkapan itu difahamkan berlaku di sebuah kondominium di Seri Kembangan.

Kebanyakan warga Iraq itu yang merupakan pelajar sedang mengikuti pengajian sarjana dan ijazah lanjutan, ditahan bersama ahli keluarga mereka ketika pihak berkuasa mengadakan serbuan menjelang sambutan Asyura yang jatuh pada kalendar Hijrah 10 Muharam setiap tahun.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata pihaknya masih tidak ada butiran lanjut kerana tangkapan itu dibuat di bawah pihak berkuasa agama negeri.

“Ada 2 tangkapan sebenarnya satu di Selangor dan saya tak pasti lagi satu negeri,” katanya.