Zamihan direman 2 hari untuk siasatan menghasut

zamihan-arrest-3

KUALA LUMPUR: Penceramah agama dan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin hari ini direman 2 hari bermula hari ini, sehari selepas ditangkap polis berhubung kenyataan beliau Sabtu lalu terhadap Sultan Johor dan masyarakat bukan Islam.

Perintah reman dibuat majistret di Ibu Pejabat Pejabat Polis Dang Wangi.

Zamihan disiasat dibawah Seksyen 4 (a) Akta Hasutan.

Peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata Zamihan tidak melakukan jenayah berat.

“Kes itu tidahkah berat, kalau ikut hukuman maksimum, denda RM5,000 atau penjara 5 tahun. Ia bukan jenayah yang serius pada saya,” katanya.

Fakhrul berkata pihaknya berjaya mengurangkan permohonan reman daripada 4 hari kepada 2 hari dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh.

“Beliau memberi kerjasama penuh ditambah pula beliau seorang penjawat awam, keadaan beliau juga baik semasa dalam tahan,” katanya.

Dalam kuliahnya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam, pada 7 Oktober, Zamihan menyelar pendirian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kerana membidas sebuah kedai dobi di Muar yang enggan menerima pelanggan bukan Islam.

“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu,” kata Zamihan dalam rakaman video yang tular dan dimuat naik di Youtube.

Zamihan, yang mengetuai pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), turut menyifatkan masyarakat bukan Islam khususnya Cina sebagai tidak bersih dan suci, dan pakaian mereka tidak boleh dicampur aduk dengan pakaian umat Islam.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” katanya sambil mencabar rakaman ucapannya ditunjukkan kepada pihak atasan termasuk sultan.

“Silakan! Apa kita nak takut kalau kita bercakap menjunjung kebenaran?” tambahnya.

Zamihan semalam memohon maaf kepada Sultan Johor, tetapi menyerang beberapa media sambil mendakwa dirinya difitnah.