Tembak saja, Bung Moktar anjur perang dadah ala Duterte

Bung-MokhtarKUALA LUMPUR: Datuk Bung Moktar Radin hari ini menyarankan agar Malaysia mengikut jejak langkah Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang terkenal dengan dasar kontroversi melancarkan perang besar-besaran ke atas gejala dadah dengan menembak mati mereka yang disyaki terlibat.

Bung (BN-Kinabatangan) mengalu-alukan dasar itu, dan berkata ia berjaya menyelesaikan masalah dadah di Filipina.

“Apabila Presiden Duterte masuk, sekarang boleh dikira dadah sifar di Filipina. Kenapa kita tidak mengikut cara Filipina. Kenapa tidak boleh?” soal beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Malah, Bung menganjurkan penagih dipenjarakan tanpa perbicaraan, sementara pengedar ditembak mati.

“Apa masalah? Sekarang rakyat kita kalau kita biarkan bermakna lesulah masa depan negara kita kalau kita tidak uruskan dengan baik,” katanya ketika membahaskan Bajet 2018 untuk Kementerian Dalam Negeri.

Bagaimanapun, kenyataan itu dipersoal Ram Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang bertanyakan sama ada beliau benar-benar serius dengan cadangannya untuk menembak pengedar dadah.

Bung menjawab beliau amat serius dengan cadangannya untuk kepentingan masa depan negara.

“Kita tidak mahu pegisian bangsa negara kita terdiri daripada mereka-mereka yang tidak bermaya, lemah longlai, tidak beridea macam yang berhormat.

“Yang berhormat tidak penagih… yang berhormat menyerlah macam saya juga. Itu yang kita mahu. Ini masa depan yang kita mahu, bukan yang lemah longlai jadi penagih, jadi pembunuh, jadi pencuri.

“Mana-mana pengedar, tembak macam di China. Di Filipina, tengok Filipina. Pergi Filipina sekarang, macam mana hebat negara dia,” katanya

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed kemudian berkata cadangan itu bertentangan dengan norma antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Dan sekiranya tindakan itu dibuat di Malaysia ia akan memberikan implikasi berbagai daripada antarabangsa termasuk sekatan ekonomi dan sebagainya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga badan antarabangsa.”

Menurut Nur Jazlan, disebabkan tekanan antarabangsa, dasar dadah Duterte juga kini diubah.

“Dan saya nak maklumkan bahawa kerajaan Filipina baru minggu lepas atau dua minggu lepas Presiden Duterte telah membuat keputusan bahawa semua aktiviti berkaitan dadah dipindahkan daripada pihak polis kepada agensi anti-dadah kebangsaannya.”