KUALA LUMPUR: Isteri kepada aktivis Perlis yang hilang Amri Che Mat hari ini berkata beliau tidak tahu maksud perkahwinan muta’ah atau perkahwinan kontrak, seperti mana didakwa Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin diamalkan oleh suaminya.
“Saya tidak pasti apa itu muta’ah, saya tidak tahu muta’ah, saya tidak tahu apa itu kahwin kontrak,” Norhayati Ariffin memberitahu panel Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang menyiasat kehilangan misteri suaminya sejak November 2016.
Beliau dirujuk laporan FMT semalam yang memetik Asri sebagai berkata Amri ada membuat pengakuan mengamalkan kahwin kontrak, seperti mana yang biasa dikaitkan terhadap aliran Syiah, mazhab yang dianggap sesat oleh pihak berkuasa Islam tempatan.
“Saya baru baca pasal kahwin muta’ah. Adik saya Nor Hafizal dan Amri tidak pernah beritahu dia kahwin muta’ah selepas jumpa mufti,” katanya.
Sebaliknya, Norhayati berkata suaminya pernah berkahwin dengan wanita lain sebelum mereka berkahwin pada 1997.
Menurutnya, beliau dan Amri mempunyai 4 orang anak angkat perempuan berumur antara 16 dan 20 tahun, dan pernah menghantar mereka belajar di luar negara termasuk di Iran dalam jurusan bahasa Parsi.
Menurutnya, kesemua mereka daripada keluarga miskin.
Ketika ditanya mengapa mereka belajar di Iran, Norhayati berkata ia atas sebab ditawarkan biasiswa.
Semalam, Asri menyerang Amri sambil menuduhnya cuba mengelirukan umat Islam di Perlis dengan mengamalkan ajaran Syiah.
Ia selepas Norhayati pada Isnin berkata beliau mengesyaki penglibatan Jabatan Mufti Perlis dalam kehilangan suaminya, yang mengendalikan Perlis Hope, sebuah pertubuhan amal.
“Mungkin suami dia ada sekarang ke pergi mana saya tak tahu. Mungkin dia pergi Iran,” kata Asri semalam. “Mungkin dia pergi muta’ah di Thailand. Dia pergi mana saya tak tahu.”
Asri bagaimanapun mengaku beliau hadir bersama kira-kira 20 pegawai agama dan polis di rumah Amri pada 2016, bagi menyiasat dakwaan Amri terlibat menyebarkan agama Syiah.
Hari ini, peguam keluarga Amri memohon supaya adik Norhayati, Nor Hafizal yang dikatakan menemani Amri berjumpa dengan Asri pada 22 Oktober 2015, untuk memberi keterangan kepada Suhakam.
https://www.youtube.com/watch?time_continue=40&v=5R5CDn91rvI
‘Polis memang ada jerit’
Norhayati dalam keterangannya menafikan dakwaan Asri yang mereka memasuki rumahnya dengan penuh hormat.
“Saya pasti saya ada dalam rumah, polis panggil dan menjerit, saya dengar dari dalam rumah, mereka kata ‘Mana orang tua kamu kami nak jumpa, sila turun!’,” katanya.
“Dr Asri pada masa itu berada di hadapan rumah dan ada polis di tepi rumah dan belakang pintu rumah saya, saya lihat dari dalam rumah.”
Norhayati berkata Amri sering keluar masuk Thailand dan sehari sebelum kehilangannya, berjumpa kawannya bernama Din di Hat Yai.
Norhayati berkata Amri berada di Thailand pada 21, 22, 23 November dan kembali pada 24 November.
Bagaimanapun, pemerhati polis berkata pihak imigresen tiada sebarang rekod Amri keluar masuk Thailand.
Norhayati berkata Amri mempunyai pasport dan terdapat cop pada dokumen yang menunjukkan dia ke Thailand, sambil memaklumkan beliau masih menyimpan pasport.
Pihak peguam keluarga Amri turut memaklumkan pihaknya akan membawa pasport milik Amri pada perbicaraan seterusnya.
Amri hilang sejak 24 November 2016.
Kehilangan misterinya dan 3 yang lain, Raymond Koh, Joshua Hilmy dan isterinya Ruth, menjadi subjek inkuiri yang dijalankan oleh Suhakam.
Bagaimanapun, panel tidak lagi menyiasat kehilangan Koh, selepas polis mengumumkan kes itu kini di mahkamah susulan seorang suspek dihadapkan tuduhan menculik.