Sanusi Junid meninggal dunia

Tan-Sri-Sanusi-JunidKUALA LUMPUR: Bekas menteri besar Kedah dan veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid, meninggal dunia pada usia 74.

Jenazah beliau akan disembahyangkan di Masjid Saidina Umar di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini.

Sanusi, seorang bekas pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), menjawat pelbagai jawatan kabinet, termasuk sebagai menteri pembangunan luar bandar dan menteri pertanian di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika mengetuai Kementerian Pertanian, beliau terkenal dengan pelbagai kempen memajukan industri pertanian tempatan, seperti kempen meminum air kelapa muda.

Beliau dilantik menjadi menteri besar Kedah pada 1996.

Pada 2008, Sanusi keluar dari Umno bersama Dr Mahathir, yang ketika itu menyerang kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, susulan prestasi lemah Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tahun itu.

Sehingga akhir hayat beliau, Sanusi merupakan pengkritik kuat Datuk Seri Najib Razak, dan menyokong Dr Mahathir. Kali terakhir penulisannya dimuat naik di blog beliau ialah pada 2 Mac lepas.