3 wakil rakyat DAP diperintah keluar Dewan, digantung

KUALA LUMPUR: Tiga ahli Parlimen DAP dari Perak hari ini digantung selama 10 hari, selepas enggan memohon maaf kerana menuntut Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan.

Nga Kor Ming (DAP-Taiping), V Sivakumar (DAP-Batu Gajah) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) digantung tugas oleh Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee.

“Saya memerintahkan Beruas, Taiping dan Batu Gajah keluar dari majlis mesyuarat selama 10 hari bermula Isnin 2018. Saya minta bentara untuk jalankan tanggungjawab,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 7 Mac lalu, Nga, Sivakumar dan Ngeh menuntut Pandikar meletakkan jawatan kerana menolak usul berhubung rampasan kapal mewah Equanimity dan isu berkaitan 1MDB.

Ronald berkata, tindakan mereka menuntut Pandikar meletak jawatan merupakan penghinaan terhadap Dewan Rakyat.

“Ia suatu bentuk penghinaan kepada dewan mulia dan cemarkan nama baik Dewan Rakyat.

“Taiping, Beruas dan Batu Gajah sudah membuat kenyataan tidak wajar di media bahkan enggan meminta maaf secara terbuka selaras dengan peraturan Dewan Mesyuarat,” katanya.

Sivakumar yang berang dengan keputusan berkenaan secara langsung menuduh keputusan dibuat Ronald terhadapnya dan lain sebagai “keputusan politik”.